Tuesday, April 28, 2009

Bawalah kami kembali ke Bumi!

Di puncak rangka logam ini.
Kami terasa terpencil dan dingin.
Wahai sang waktu singgahlah.
Bawalah kami kembali kepada.
Kehangatan dan bau rumput di Bumi.

(Bawalah kami kembali ke Bumi)

Abdul Latiff Mohidin.
Seniman dan penyajak Malaysia.

. . . . . . . . . .

Aku tak kenal siapa Abdul Latiff Mohidin. Mungkin patut tanya pada Wahyudimy. Aku baca dalam LRT masa balik dari Book Fair Ahad lepas.

Monday, April 27, 2009

Selamat hari lahir Una!


Ok. Addy lambat tulis.
Bukan ertinya Addy lupa.
Kamu selalu dalam hati Addy.

Moga bahagia Addy jadi milik kamu.
Dan moga derita kamu jadi milik Addy.

Kamu yang bongsu.
Tapi bukan ertinya sayang Addy selalu yang terakhir buat kamu.

Selamat hari lahir buat kamu.
Moga terus jadi manusia.
Dan buktikan pada semua, kamu mampu gegar dunia.

27 Apr 2009.
Selamat hari lahir Una!

Saturday, April 25, 2009

Rosna Abdul Latiff : Moga ketemu yang abadi

Buat Kak Yong, Bang Ngah, Bang Lang, Bang Teh, Achik dan Apah :

Hilang ibu bukan artinya kalian hilang hidup.
Anggap yang itu semua suratan dari Dia.
Bukan hak kita melawan takdir dari tuhan.
Kita cuma perlu terima dan redha.

Jangan terus menangis.
Kesat airmata yang jatuh.
Kuatkan semangat yang makin hilang.
Titipkan doa siang dan malam.
Kerna dari Dia kita datang, dan pada Dia juga kita kembali!

. . . . . . . . . .

Kak Yong,
Kak Yong cukup tabah. Tapi saat Kak Yong cium pipi arwah bonda untuk yang terakhir kali, butir jernih yang tumpah dari mata yang bercahaya itu buat airmata Addy juga turut jatuh. Moga terus kuat Kak Yong!

Bang Ngah, Bang Lang, Bang Teh,
Kalian manusia hebat. Saat aku tiba, kalian masih mampu senyum. Dan kalian masih mampu buat aku juga senyum. Tapi jangan terus simpan yang dalam hati kalian. Menangislah kalau perlu. Mungkin itu lebih baik dari kalian cuma simpannya dalam hati seorang diri. Tapi saat kita sama-sama mengangkat jenazah bonda kalian, aku dapat rasa cinta dan sayang kalian turut mengalir bersama. Meresap dalam aku. Saat kalian satu persatu mencium pipi arwah bonda kalian, hati aku sebak. Sungguh kasih anak pada ibu takkan ternilai.

Achik, Apah,
Kesat airmata yang jatuh. Jangan terus menangis. Jangan sesekali putus asa dengan hidup. Ya, kalian masih terlalu muda untuk ujian sehebat yang ini. Tapi jangan kecewa dengan ketentuan tuhan. Jadikan dugaan hebat ini untuk kalian lebih matang tentang erti hidup. Abang Addy takkan mampu faham apa yang tersirat dalam hati kalian. Tapi kalau perlukan apa-apa, abang Addy selalu ada untuk adik-adik abang Addy.

. . . . . . . . . .

Salam takziah buat Pak Njang dan keluarga atas perginya isteri/ibu tercinta, Allahyarhamah Rosna binti Abdul Latiff pada petang 23 April 2009 dan selamat dikebumikan pagi 24 April 2009. Moga arwah ketemu bahagia yang lebih indah bersama para kekasih-kekasih Yang Maha Esa di alam yang lebih kekal di sana Insyaallah. AlFatihah!

Wednesday, April 22, 2009

Rasa itu

Rasa itu bukan datang dari dalam jiwa.
Tapi datang dari kata dan prasangka.

Itu kata teman.
Bukan aku.
Dan aku tak memilih samada bersetuju ataupun tidak.

Monday, April 20, 2009

Kau perlu berubah, aku kata pada dia.

Kau perlu berubah, aku kata pada dia.

. . . . . . . . . .

Esok.
Datang dengan selendang panjang melilit leher. Cantik.
Macam Ekin, kawan-kawan kata.
Dulu dia cuma pakai tudung biasa.

Apa mimpi, aku tanya.
Aku berubah. Tukar imej, dia kata selamba.

Tepuk dahi.
Ok. Mesej aku tak sampai.

Friday, April 17, 2009

Hot sexy di balik lensa?

Sementara tunggu malam makin jadi hitam, aku belek-belek.
Antara keyword(baca : katakunci) untuk carian ke blog aku.

Arkitek gaji berapa.
Puisi hari lahir buat ibu.
Soalan trigonometri.
Perempuan simpanan sindiket soljah.
Addyholix (ejaan kalian selalu salah!)
Slanga Terengganu.
Mimi.
Jawatan kosong April 2009 arkitek lanskap.
Takkan melayu hilang di dunia.
Kerajaan bisnes.
Hot sexy di balik lensa.

Hot sexy di balik lensa?

Aku gelak dekah-dekah umpama aku tahu aku bakal mati seminit dua lagi. Gelak sehabis mahu!

NotaAddy : Ya aku seksi. Aku cuma malas mengaku. Haha!

Wednesday, April 15, 2009

Monolog kau aku

Kau tak nampak aku.
Tapi aku nampak kau.

Kau tak pernah nampak aku.
Tapi sungguh aku selalu nampak kau.

Bukan sebab aku halimunan.
Bukan juga sebab kau di kanan.

Sungguh bukan sebab yang itu.

Kau tak nampak aku.
Tapi aku nampak kau.

Mungkin sebab kau tak berkenan.
Dan mungkin sebab aku yang dalam angan-angan!

Monday, April 13, 2009

Dia yang seolah membunuh

Bila dia datang, aku selalu cuma diam.
Selalu sepi langsung tanpa bicara.
Pejam-erat-mata-kerut-dahi-kejap-mulut-rapat.
Tapi dia seolah membunuh.
Sakitnya umpama hulu tajam pisau yang mencucuk!

Tapi sungguh, itu bukanlah apa-apa.

UPDATE : Dia bukan siapa-siapa. Dia itu cuma sakit yang datang. Tapi sungguh, itu bukanlah apa-apa!

Thursday, April 09, 2009

Syukur aku masih mampu hidup!

Aku cuba injak kaki pada tanah. Mulanya terasa seperti aku mampu. Tapi perlahan-lahan tubuh aku jatuh layu ke bumi. Kaki aku patah. Cuma itu yang mampu keluar dari fikiran. Dan tiba-tiba dunia jadi gelap dan aku terus lupa semua.

Ya. Aku kemalangan!

Kaki kanan aku seolah beku. Tulang paha kanan aku patah terus. Langsung kaku seolah mati. Kelopak mata kiri aku koyak teruk. Pedih. Terasa kulitnya yang jatuh menimpa mata setiap kali aku cuba berkelip mahu melihat. Darah menitik terus. Dan aku boleh buta kalau serpihan kacamata masuk terus ke dalam mata. Tulang belakang aku retak dan hampir patah. Kata doktor, kalau silap pergerakan, aku mungkin lumpuh. Hati aku menangis. Bukan cuma itu, hati aku dah betul-betul meraung.

Tapi itu cerita sembilan tahun dulu. Aku tiba-tiba teringat bila belakang aku kerap sakit sejak kebelakangan ini. Tapi kata doktor, itu kesan sampingan yang perlu aku terima dan tanggung selagi hayat aku ada.

Tapi aku syukur aku masih mampu berjalan. Walaupun tak sesempurna manusia lain. Aku tetap syukur aku masih diberi peluang melihat dunia. Dan aku paling bersyukur bila mana aku masih mampu bergerak bebas seperti orang lain.

Aku selalu pesan pada hati. Selalu syukur dan terus bersyukur!

Tuesday, April 07, 2009

Jangan Kau ambil aku.

Tuhan.
Jangan Kau ambil aku.
Tatkala aku masih belum mampu sedar.

Tuhan.
Jangan Kau ambil aku.
Tika aku masih kotor dengan dosa.

Tuhan.
Jangan Kau ambil aku.
Kala aku belum puas sujud pada-Mu.


NotaAddy : Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Arshat Kassim yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di tanah suci Makkah Al-Mukarramah petang semalam. Moga arwah disucikan segala dosa dan ditempatkan di kalangan yang beriman. Amin.

Saturday, April 04, 2009

Bonjour yang cuma Selamat Pagi.

Malam pesta, muda-mudi,
Bertemasya dan menari,
Suka, duka, dalam hati... (Ulang dua kali).

Telefon bimbit aku bunyi.
Aamir SMS. Dari benua yang lain. Jauh.
Bonjour, kata Aamir.
Positifnya, aku senyum sebab Aamir masih ingat aku.
Yang negatif, mungkin silap hantar. Itu fikir aku sendiri.

Ikon senyum. Dah tak pandai bagi salam?, aku balas.
Ikon senyum. Assalamualaikum. Bonjour, SMS Aamir masuk lagi.
Aku jawab. Dalam hati. Senyum.
Bonjour? Maksudnya?, aku balas lagi.
French. Urgent. Aamir balas ringkas.
Tiga empat SMS kemudiannya aku hantar tapi Aamir terus diam.

Semalam singgah Times.
Cari, cari dan cari.
Jumpa Collins French Phrasebook : The Right Word In Your Pocket.
Aku beli. Cuma sebab rasa ingin tahu yang membuak-buak.

Damn. Maksudnya cuma selamat pagi. Entah apa yang penting. Damn lagi.
Aku SMS Aamir. Carut-carut sikit. Kemudian ikon senyum lagi.
Kau dah melangkah satu tapak ke hadapan. Kata nak berhijrah. Ikon senyum, SMS Aamir.
Aku sambung senyum. Senyum aku kali ini lama.

Aku bahagia punya kawan-kawan yang mampu buat aku senyum.
Ya. Walaupun cuma sekadar senyum.
Mudah kan?

Malam pesta, muda-mudi,
Bertemasya dan menari,
Suka, duka, dalam hati... (Ulang dua kali).

SMS siapa pulak?

Friday, April 03, 2009

Aku hisap rokok, bukan makan kotak!

Letaklah gambar apa sekalipun.
Kalau dah gian, aku dah tak peduli itu semua.
Kalau dah kempunan, aku dah tak ambil kisah.

Tapi bayi pra-matang buat aku fikir dua tiga kali.

Tapi kawan pernah cakap.
Aku hisap rokok, bukan makan kotak!

NotaAddy : Aku teringat Naaim yang suka kumpul kotak rokok limited edition. Yang terbaru sekarang, pon dikira limited edition jugakah?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...