Saturday, May 30, 2009

Gelap!

Yang kosong itu dah pon jadi satu.
Dan kerap kali aku harap yang satu mampu lahirkan dua.
Untuk tiga, aku masih berkira-kira.

Dan malam aku tetap sama. Gelap!
Harap siang kali ini mampu cerah.

Aku nampak matahari.

Sunday, May 24, 2009

Sapi : Sapi suka Sipah

Sapi suka Sipah. Sipah cantik. Maman kata macam awek doktor dalam Prison Break tu. Maman kawan baik Sapi. Dari kecil Sapi memang suka Sipah. Sapi pernah korbankan masa main bola dan konda-kondi dengan kawan-kawan sebab Sipah ajak main kahwin-kahwin. Sapi selalu berangan jadi suami Sipah betul-betul. Sapi nak anak ramai dengan Sipah. Sapi rasa Sipah pon suka Sapi. Tapi sekarang Sipah dah bertunang. Sapi tahu hukum kacau tunang orang besar dosanya. Sapi tahu pun sebab ibu yang cakap. Sapi tak mahu masuk neraka.

Kahwin pon boleh cerai, ini baru setakat bertunang. Kata Maman.

Bercakap macam takde agama. Sapi marah. Sapi memang bodoh. Tapi bukan maknanya Sapi langsung tak tahu pasal agama. Walaupun sembahyang Sapi tak pernah cukup lima. Walau puasa Sapi tak pernah genap sebulan. Sapi banyak belajar tentang agama dari arwah nenek dulu.

Tapi sebelum tidur tadi, Sapi ada terfikir kata-kata Maman. Sapi rasa macam nak buat benda bodoh esok pagi!

Thursday, May 21, 2009

Beku.

Beku. Yang dalam kepala. Dalam hati.
Walaupun matahari cuma sejengkal jaraknya.

Sunday, May 17, 2009

Kunang-kunang dan malam!

Malam tadi kunang-kunang datang. Kejut aku bangun dari mimpi yang cuma baru separuh. Kunang-kunang tanya apa aku mahu.

Aku jawab, dia.

Kunang-kunang balas, tak boleh sebab aku bukan tuhan.

Aku angguk.
Apa yang kau boleh bagi, aku sambung tanya.

Kunang-kunang jawab lagi, cahaya!

Aku kata, ok.

Aku sambung tidur sambil peluk bantal. Aku bayang peluk dia!

Wednesday, May 13, 2009

Remuk!

Malam terasa lambat merangkak ke penghujung. Aku cuma mahu sampai ke siang. Bukan ertinya aku sudah mula benci malam. Malam masih antara cinta aku. Masih antara kekasih yang paling setia. Aku cuma mahu lupakan yang semalam dan hari ini. Buang jauh-jauh ke dasar bumi remuk hati yang bersarang. Untuk cipta sesuatu yang baru menjelang hari esok.

Sunday, May 10, 2009

Kasih ibu


Kalaulah Addy mampu senaraikan setiap pengorbanan mak.
Kalaulah Addy terdaya perincikan setiap kasih dan cinta mak.

Yang ini bukan cuma dari Addy. Juga dari anak-anak mak yang lain. Dari Yong, Syida, Nisha, Huda dan Una. Juga dari setiap anak buat setiap ibu di dunia. Selamat hari ibu!

NotaAddy : Gambar sekadar hiasan. Bukan hak milik peribadi aku.

Thursday, May 07, 2009

Masih yang sama.

Yang berdegup itu masih hati yang sama.
Yang beza cuma mungkin isi dalamnya.

Tuesday, May 05, 2009

Patung Kertas 2 : Ini bukan review!

Ashraff Muslim cun gila. Tapi lenggoknya tak cukup. Belum cukup "perempuan". Kalau tak, memang aku dah jatuh cinta!
Ok. Berhenti dari berfikir sesuatu yang diluar rasional. Atau yang diluar batas fikiran.
Itu cuma komen sinis abang Pali selepas kami tonton Patung Kertas 2 di Matik, malam Sabtu lepas.
Dan bukan selalu kau dapat tengok Jalaluddin Hassan berbedak bergincu bermaskara segala macam sambil berjalan kepit-kepit. Haha!

. . . . . . . . . .

Itu pertama kali aku tonton teater. Dan ternyata agak berbaloi. Aku terhibur walaupun ada teman-teman yang kata Patung Kertas 2 bukan permulaan terbaik untuk aku mula berminat dengan pementasan teater. Ada yang nak ajak aku tengok Mahsuri?

Monday, May 04, 2009

Jambu

Kau makin jambu, kata Syauqi.
Aku syak Syauqi puji (aku klasifikasikan itu sebagai satu pujian) sebab aku pakai baju bunga-bunga malam tu. Aku masih kabur maksud "jambu" yang sebenar. Aku syak maksudnya mantap, kacak dan tampan. Haha!

Malam Jumaat lepas aku pergi Ipoh. Bertempat di dewan sekolah. Majlis makan malam bersama kawan-kawan sekolah. Bukan reunion tapi cuma perjumpaan dengan kawan-kawan lama. Bayangkan aku bersua muka semula dengan kawan-kawan yang dah terputus hubungan hampir sepuluh tahun. Dan jejakkan kaki buat pertama kali ke sekolah juga selepas sepuluh tahun. Terima kasih buat teman-teman yang masih mampu kenal aku.

Macam-macam yang kami bualkan. Perkembangan semasa. Perihal kerja. Bab rumahtangga. Sikit tentang cinta. Aku paling suka bila jumpa skandal lama. Sempat juga aku kenyit mata. Haha!
Ok. Memang macam-macam sebenarnya. Kalau aku perincikan satu persatu, kalian takkan baca tapi terus tulis komen. Sebab aku yakin akan berjela panjangnya. Mukadimahnya saja mungkin cecah lapan perenggan. Itu ikut penelitian aku sendiri. Itu belum masuk perenggan yang aku selitkan lawak jenaka aku yang aku pasti kalian akan cebik bibir sebab tak kelakar. Kalau gelak pon mungkin sebab kalian sekadar simpati. Atau sebab kalian dah jatuh hati dengan aku. Haha! Ok abaikan yang itu.

Tapi soalan yang paling kerap diajukan buat aku pasti kalian tahu.
Bila nak kahwin? Ok soalan ni dah selalu lekat dalam kepala otak. Bila dah selalu ditanya, jawapannya akan jadi macam-macam. Pelbagai.
Jadi buat kawan-kawan yang terima jawapan "Insyaallah, bulan tujuh!" dari aku, aku minta maaf. Itu dusta semata-mata. Cuma untuk buat kalian tutup mulut dan buat kalian bangga aku akan join the club. Dan buat teman-teman yang tak baca blog ini, maaf, pembohongan ini maksudnya akan berpanjangan. Kalau ada yang tanya nanti, mungkin jawapan aku "Bukan jodoh!" bakal menyusul. Ok. Sekarang aku gelak!

Aku masih tunggu gambar-gambar dari Qalif. Nanti aku letak gambar aku pakai baju bunga-bunga. Harap-haraplah. Jangan lupa puji aku jambu.

Friday, May 01, 2009

Markonah oh Markonah!

Tadi belek lagu-lagu dalam laptop(baca : komputer riba) aku.
Jumpa Mungkin Nanti dari Peterpan.
Terus fikiran aku jatuh pada cinta lama aku dulu.
Mari namakan dia sebagai Markonah saja.

Mungkin Nanti pernah jadi lagu aku dan Markonah.
Lagu yang melambangkan cinta aku dan Markonah.
Lagu yang buat aku dan Markonah mahu sehidup semati.
Lagu yang konon beri aku dan Markonah inspirasi.
Sehingga aku dan Markonah memang mengaku itu lagu kami.

Selalunya aku dan Markonah duduk dalam kereta.
Sambil tangan kanan aku paut tangan kiri Markonah(Markonah yang pandu sebab sampai sekarang aku masih belum punya lesen kereta).
Kemudian kami nyanyi sama-sama. Indah!
Sesekali aku kucup lembut tangan Markonah.
Markonah senyum sambil tunduk-tunduk malu.
Mesti kamu fikir aku romantik kan?
Markonah pernah cakap aku lelaki paling romantik.
Dulu itu yang aku selalu yakin.
Dan sekarang aku sedar yang Markonah cuma bohong.

Ya. Tiap kali dengar Mungkin Nanti mesti aku ingat Markonah.
Bukan sebab cinta aku masih bersisa buat Markonah.
Bukan juga sebab sayang aku pernah ada buat Markonah.
Tapi cuma sebab lagu itu betul-betul pernah merasuk aku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...