Friday, December 18, 2009

Aku bukan merak

Aku masih pungguk, yang selalu rindukan bulan. Percayalah, aku tak pernah cuba menjadi merak, yang selalu cintakan cahaya matahari. Langsung tak pernah. Tapi kalau yang salah itu masih pada aku, maaf. Cuma itu yang termampu dari aku. Langsung dari hati kecil aku yang dalam. Sungguh. Maaf, maaf dan maaf. Mungkin aku sendiri yang perlu berubah!

Sunday, December 06, 2009

Aku rindu aku!

Aku rindu kunang-kunang.
Aku rindu layang-layang.
Aku rindu untuk terbang.
Aku rindu memori yang dulu-dulu.
Kalau tuhan izin, aku mahu ulang semuanya.
Dah cukuplah kalaupun cuma dalam mimpi malam nanti!

Tapi aku bukan rindu manusia lain.
Aku cuma rindu aku yang dulu.
Sungguh!

Tuesday, December 01, 2009

Anggerik kota

Anggerik kota itu,
Yang bunganya langsung layu,
Seri hilang bertemankan pilu.

Anggerik kota itu,
Yang daunnya bertukar jingga,
Lalu jatuh menutup cakerawala.

Anggerik kota itu,
Yang dahannya kering mula,
Patah dan rebah bertimpa-timpa.

Anggerik kota itu,
Yang mula reput terus tua,
Matinya langsung tak berharga.

Anggerik kota itu,
Yang hidupnya dulu penuh cinta,
Tapi hilangnya tak pernah dikecewa.

Dan anggerik kota itu,
Terus kekal anggerik kota,
Bukan pada pandang mata,
Tapi utuhnya cuma pada nama.

Thursday, November 19, 2009

Sungguh-sungguh membunuh!

Rasa yang itu merangkak perlahan datang. Merayap dan menjalar ke segenap tubuh. Menerobos terus ke rongga nafas. Mengalir laju dalam salur darah. Melekat dan dakap erat hati yang merah. Dan dengan perlahan juga ia mula menghakis dan membunuh!

Saturday, November 14, 2009

Cinta mati


Cinta buat manusia hidup. Dan cinta juga buat manusia mati. Titik.

Tuesday, October 27, 2009

Aku MIMPI lagi... !

Berhenti mentafsir mimpi, kerna mimpi cuma mimpi.

Berat kepala, kerna "MIMPI" bukan lagi mimpi. "MIMPI" dah jadi nyata. Lagi bertambah berat bila yang nyata itu betul-betul di depan mata.


Mimpi BERAT dari PARADOKS.


Aloy Paradoks.

Pembukaan dari Paradoks.

Shah Jamat.

Shoffi Jikan.

Salina. Sepatutnya Siela kan Kimi?

Smugglers.

Fasyali Fadzli.

Kak Dib, Mamai, Pentoi, Cendana dan Jamee.

Bloggers. Kalian sangat best!

Bloggers. Ada masa jumpa lagi =)

Pakatan Radikal Orang Kepala Seni (PARADOKS) bersama adik Hakeem.

Pungguk yang selalu rindukan bulan, tapi kuman yang sampai dulu?

Ok ini saja interframe. Aku sangat suka. Kredit untuk Pentoi.

Sekalung tahniah buat PARADOKS untuk malam MIMPI yang hebat. Terus berkarya dan moga kalian mampu menghasilkan yang lebih bagus.

P/s : Ini entri tertunggak. Mimpi BERAT dari PARADOKS berlangsung pada 18 Oktober 2009 bertempat di Galeri Shah Alam.

Tuesday, October 20, 2009

Kalau aku.

Kalau aku bodoh,
Sua aku dengan petunjuk moga aku selalu penuh dengan ilmu.

Kalau aku lemah,
Beri semangat Hang Tuah moga aku terus kuat untuk dunia.

Kalau aku berdosa,
Doakan aku dengan kalimah Dia moga aku terus dekat dengan syurga.

UPDATE : Perkataan "wahyu" aku tukar dengan "petunjuk" kerna wahyu itu terlalu besar maksudnya, dan perkataan wahyu cuma untuk para rasul dan nabi tapi bukan untuk kita manusia. Maaf atas kesilapan yang berlaku dan terima kasih buat seorang sahabat yang menegur.

Monday, October 12, 2009

Pungguk

Pungguk masih terus terbang. Tapi bulan tetap jauh. Dan pungguk mula yakin yang bulan takkan mampu pungguk sentuh. Tapi bulan pernah janji untuk terus ada. Untuk terus bersahabat dengan bintang. Untuk terus temani gelap malam. Untuk selalu ada buat pungguk. Bukan untuk pungguk gapai. Tapi cuma berkongsi cahaya bulan.

Sungguhlah pungguk tetap pungguk yang selalu rindukan bulan!

Saturday, October 03, 2009

Biar yang bahagia terus milik dia.

Dengus nafas itu terus menghembus.
Dada tua itu juga masih berombak lembut.
Tapi kelopak yang dua terus rapat.
Sesekali kacanya merenung lemah.
Sayu...

Tuhan, jangan ambil dia dari aku.
Kerna aku belum sedia untuk hilang siapa-siapa.

Kalau aku mampu, biar seksa itu aku yang rasa.
Biar yang bahagia terus milik dia.

Wednesday, September 16, 2009

Pesan buat sahabat

Fiq,
Kenapa perlu kau buang cinta kalau itu yang kau cari?
Kenapa perlu kau campak sayang kalau itu yang kau mahu?
Kenapa perlu kau nafi rindu kalau itu yang kau damba?

Perasaan itu tak perlu kau hilangkan cuma kerana mahu menjaga hati, kawan.
Kadang-kadang kau perlu pentingkan diri untuk sesuatu yang kau sendiri perlukan.

Aku betul-betul harap kau baca yang ini. Titik.

Wednesday, September 09, 2009

Ulangtahun : Satu

"Kamu tahu apa itu ulangtahun?", tanya Sipah ingin tahu.
"Anniversary!", jawab Sapi sikit mendongak. Eksyen.

Ya. Beberapa hari lepas merupakan ulangtahun pertama aku menulis blog. Ulangtahun pertama aku mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan maya. Ulangtahun pertama aku bergelar "Blogger".

Buat kalian : Terima kasih kerana terus membaca. Terima kasih untuk jejak yang kalian tinggalkan. Terima kasih untuk sokongan dan dorongan dari kalian yang sering membuatkan aku mahu terus berkarya (kalau layak dipanggil karya). Terima kasih untuk tunjuk ajar dan pendapat kalian yang selalu membuatkan aku belajar dan faham tentang hidup. Terima kasih atas setiap kritikan dan cemuhan (buat segelintir) kalian yang selalu membuatkan aku mahu menjadi yang lebih baik. Terima kasih untuk kepercayaan dan nasihat kalian yang selalu menjadikan aku manusia yang sedar tentang rasa hormat dan dihargai. Terima kasih!

Juga terima kasih yang tak terhingga buat seorang sahabat yang mula-mula dulu meyakinkan aku bahawa aku mampu dan boleh menulis.

Doakan aku terus menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan lebih baik!

Terima kasih.
Thank You.
Shukron.

Friday, September 04, 2009

Tiga cinta


Selamat hari lahir Yong, 28 Ogos 2009.
Kamu kakak paling hebat. Dan Addy akan selalu doa untuk kebahagiaan kamu kelak. Dan sampai mati kamu akan kekal dalam hati Addy.



Selamat hari lahir Syida, 04 Sept 2009.
Moga terus menjadi manusia. Dan terima kasih untuk segala yang pernah kita kongsi bersama. Sayang Addy takkan mampu Addy ucap cuma dengan kata-kata.



Selamat hari lahir Huda, 11 Sept 2009.
Belajar rajin-rajin. Harapan Addy pada kamu terlalu tinggi. Dan Addy harap Addy takkan kecewa untuk yang itu.


Kasih,
Moga langsung takkan pernah padam.
Sayang,
Moga langsung takkan pernah hilang.
Rindu,
Moga langsung takkan pernah jemu.
Cinta,
Moga langsung takkan pernah mati.

Tuesday, September 01, 2009

Hujan, datanglah !

Hujan kian lebat.
Malam makin pekat.
Mata hampir lena.
Mula kira titis manik berkaca yang menyembah bumi itu.
Asyik.

Thursday, August 27, 2009

Pesan aku pada malam.

Malam, tambat aku dalam tidur.
Agar lena terus panjang.

Tidur, sembunyi aku dalam mimpi.
Agar cinta terus indah.

Mimpi, kejut aku dalam bahagia.
Agar hidup terus ke syurga.

Bahagia, kekallah!



NotaAddy : Ada aku cakap yang aku pindah lagi? Ya, aku pindah lagi.

Saturday, August 22, 2009

Tak selalu kita dapat apa yang kita suka, mungkin kadang-kadang kita perlu suka apa yang kita dapat!

Manusia itu adalah sebaik-baik kejadian. Kejadian tuhan yang lengkap dengan akal dan fikiran yang waras. Tapi manusia itu tidaklah sempurna. Malah takkan sempurna. Langsung. Sampai bila-bila. Sempurna itu bukan untuk manusia. Yang sempurna itu cumalah Dia yang maha Esa.

Untuk menerima sesuatu yang bukan pilihan, bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan semudah menyuap nasi ke mulut, kunyah dan telan. Tak semudah lelapkan mata, tidur dan bermimpi yang indah-indah. Yang satu ini perlukan kekuatan. Perlukan pengorbanan yang maha besar. Perlukan hati yang betul-betul ampuh dan mampu buang jauh-jauh airmata yang mungkin jatuh.

Tak selalu kita dapat apa yang kita suka, mungkin kadang-kadang kita perlu suka apa yang kita dapat. Menurut seorang teman, "Kadang-kadang tuhan tak beri perkara yang kita suka, tapi Dia beri perkara yang kita perlu!". Sungguh aku mula yakin yang itu!

Hidup akan selalu punya pilihan. Memilih samada untuk hanya terima yang tersurat tanpa berbuat apa-apa atau terima dan cuba berusaha dan berubah menjadi yang lebih baik. Moga kita mampu membuat pilihan yang terbaik.

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Moga kita sama-sama mampu peroleh sesuatu yang lebih baik di masa depan kelak, Insyaallah!

NotaAddy : Aku diserang kesibukan yang melampau. Yang buat aku hampir tak mampu bernafas. Yang buat aku hampir jatuh tumbang menyembah bumi. Yang buat aku hampir lupa dunia yang ini. Maksud aku dunia maya yang mendekatkan aku dengan kalian. Tapi sungguh kalian lekat terus dalam hati aku yang makin beku ini.

Tuesday, August 11, 2009

Biarlah!

Yang merah itu masih terus mengalir deras.
Yang dalam salur nafas itu masih terus turun naiknya.
Yang dalam kepala makin kalut ligatnya.
Cuma yang dalam hati seolah mati.
Beku. Tepu. Kosong.

Biarlah.
Biar dia makin hilang.
Biar dia terus mati.
Biarlah!

Wednesday, August 05, 2009

Sumpah rindu yang satu itu hampir membunuh!

.
.
.
.
.
.
.

Sumpah rindu yang satu itu hampir membunuh!

Wednesday, July 22, 2009

Mimpi-mimpi aku


Sungguh hidup itu bukan cuma mimpi.
Sungguh dunia itu takkan selalu gelap.

"Kenikmatan bukan hanya boleh diperolehi melalui mimpi walaupun selalunya mimpi itu nikmat... kebijaksanaan boleh membuatkan realiti lebih nikmat berbanding mimpi..." - abang Chime.

NotaAddy : Sekalung tahniah buat Aloy Paradoks dan kawan-kawan atas jayanya malam Mimpi-Dunia Gelap di Laman Budaya, Shah Alam pada 19 Julai 2009 yang lepas.

Saturday, July 18, 2009

Persahabatan itu bukan putus, tapi cuma luka.

Persahabatan itu bukan putus. Tak pernah putus. Itu cuma mungkin perkataan yang aku dan kau guna bila kita dah tak lagi sehaluan. Bila kita saling merasa benar dan menyalahkan antara satu sama lain. Bila kita mengambil keputusan untuk terus bermasam muka dan tak bertegur sapa. Bila kita mula meluaskan jarak dan mengasingkan diri ke hujung dunia. Bila kita hampir membuang jauh-jauh semua yang kita bina cuma kerana sedikit salah faham dan cerita dusta.

Sungguh persahabatan itu bukan putus. Langsung tak pernah putus. Aku selalu ingatkan pada hati, persahabatan mana yang tak diuji tuhan. Perhubungan mana yang tak ditimpa onar dan badai. Pertalian mana yang semuanya cuma putih bersih tanpa sedikit palit hitam.
Sungguh persahabatan itu memang langsung tidak pernah putus. Mungkin ia cuma luka. Luka yang sedikit parah, dan yang darahnya mengalir lama. Dan kini aku yakin ia makin pulih!



Sahabat, terima kasih kerna memulakan langkah pertama. Terima kasih kerna berani membuang ego ketepi dan melakukan yang satu ini. Terima kasih kerna masih mahu meneruskan apa yang kita cuba akhiri lama hampir tiga tahun dulu. Ayuh kita pelihara semula yang pernah kita bina dulu. Kita susun semula yang pernah kita kongsi bersama dulu. Kita atur semula perjalanan kita yang masih belum punya noktah dulu. Dan aku akan selalu harap takkan ada langsung titik di penghujungnya. Moga tuhan selalu pelihara.

NotaAddy : Tunggu aku balik SP nanti kita lepak. Banyak perkara aku nak cerita. Banyak benda perlu kita sembang =p

Wednesday, July 15, 2009

Ratah

Malam terus merangkak panjat ke hujung.
Bulan penuh sudah mula hilang sikit demi sedikit.
Makin separuh maksudnya.
Bintang yang asalnya melata mula sembunyi.
Unggas malam juga makin-makin diam diri.
Subuh sudah mula mahu nampak pangkalnya.
Yang kelamnya makin pekat. Kian hitam. Kelat.
Tapi dia masih mahu terus berjaga.
Masih mahu terus cari yang di puja-puja.
Yang tanpa sedar, hakikat sebenar cuma di depan mata.

Detik 2.41 pagi - mata masih belum mahu lelap. Mula ratah tubuh sendiri.

Thursday, July 09, 2009

Mimpikan aku malam nanti!

Aku makin samar. Bukan apa-apa, aku masih aku yang sama. Cuma yang di dalam sedikit berkocak. Tapi itu juga nikmat kan. Hari-hari aku makin hebat, cuma aku selalu lupa yang hidup ini bukan macam mimpi. Dari situ aku mula belajar. Belajar membezakan yang nyata dan sebaliknya. Tapi kadang-kadang, yang mimpi itu buat aku senyum. Dan aku suka begitu. Walau cuma mimpi tapi sekurang-kurangnya ada sedikit harapan. Dan mungkin sikit rasa bahagia.

Bulan, mimpikan aku malam nanti!

NotaAddy : Yang mati itu kadang lebih untung, dapat merasa nikmat hidup dan nikmat mati. Titik.

Monday, June 29, 2009

Suara yang itu

Suara itu. Yang halus. Yang merdu. Yang entah datang dari pelusuk mana. Dari dasar bumi. Dari balik gunung tinggi. Dari tengah laut dalam. Atau dari hujung dunia. Mungkin lain cakerawala. Terkadang ada kadangnya hilang. Suara yang cuma mungkin angin. Tapi sungguh suara itu, suara yang selalu buat hati jadi tak tentu.

Thursday, June 25, 2009

Amin

Malam kelmarin Amin telefon.

Bila pakngah nak balik tengok Amin?, Amin.

Amin rindu pakngah?, aku.

Rindu!, Amin.

Rindu banyak rindu sikit?, aku.

Banyak!, Amin.

Banyak macam apa?, aku.

Ribu-ribu!, Amin.


Aku jadi betul-betul rindu!

Tuesday, June 23, 2009

Pesan aku pada bulan, cinta dan angin.

Bulan, sampaikan pada malam, kenapa perlu sepi.
Kerna dengan izin maha Esa, siang pasti datang.

Cinta, bicarakan pada dia, usah terlalu berharap.
Kerna ini mungkin tersurat, bukan takdir kalian.

Angin, khabarkan pada hati, jangan terus resah.
Kerna yang di depan, pasti punya bahagia.

Saturday, June 20, 2009

Shit

Seorang blogger komen yang tulisan aku langsung tak membina. Struktur ayat macam dibuat-buat. Langsung tiada karakter. Puisi cacamarba. Syok sendiri. Mengarut. Entah apa-apa. Dan macam-macam. Ok aku mengaku aku masih belajar menulis. Aku tak pernah mengaku tulisan aku bagus. Tapi nak tegur ada caranya. Tak perlu nak mencarut segala bagai. Tak perlu nak tulis perkataan 'macam babi'. Kalau tulisan kau bagus pon, ada cara yang lebih baik untuk kau nyatakan pendapat. Aku bukan marah. Kalau ada yang tegur, aku terima. Cuma kali ni, caranya saja yang aku rasa tak kena gaya. Shit!

Thursday, June 18, 2009

Ayah.....

Bila hari bapa? Tak kisahlah. Sebab kita boleh sambut hari-hari kan?

Aku lupa mana aku letak puisi buat ayah yang aku tulis dulu. Aku lupa mana aku simpan. Nanti dah jumpa aku publish. Jadi aku tulis yang biasa-biasa saja. Maksud aku bukan puisi ayah tu luar biasa. Cuma aku tulis khas buat ayah. Jadi aku anggap itu istimewa. Sekurang-kurangnya istimewa pada aku. Dan kalau ayah baca nanti, harap ayah anggap itu istimewa juga.

Apa yang aku suka tentang ayah?


Sebab utama : Ayah sangat kool!
Sebab lain : Macam-macam. Sebab ayah kan ayah aku. Haha!

Aku tak kisah kalau kalian kata ayah lebih kacak. Sebab aku selalu percaya, bumi itu bulat. Akan selalu berputar atas paksi yang sama. Ya tak? Haha!

Selamat hari bapa buat ayah!

NotaAddy : Dan sebelum terlupa, hari ini 18 Jun 2009. Buat abang Chime, selamat menyambut ulangtahun kelahiran. Yang ke berapa ya bang? Moga abang Chime terus sukses dan menulis yang bagus-bagus. Jangan selalu fikir nak tutup blog ok. Serius tulisan dia bagus!

Tuesday, June 16, 2009

Rindu. Betul-betul rindu...

Yang itu cumalah kerangka biasa.
Kerangka kertas yang dulu aku puja.
Melayang tinggi terbang di udara.
Walau kadang bukan di alam nyata.

. . . . . . . . . .

Aku rindu. Betul-betul rindu.
Bukan pada siapa-siapa.
Cuma pada layang-layang tak bernyawa.

Thursday, June 11, 2009

Bila jasad dan roh mula bersatu

Jasad itu lahir dari kasih ibu.
Roh itu datang dari cinta Dia.
Bila jasad dan roh mula bersatu, hadirnya satu anugerah terindah.
Moga lahir dia bukan untuk sia-sia.
Moga lahir dia untuk mengubah dunia.

Wednesday, June 10, 2009

Sapi : Sapi bukan lembu

Lembu punya pasal, sapi dapat nama. Sapi baca dalam buku teks bahasa melayu masa sekolah dulu.

Malam tadi pon Maman kutuk Sapi pasal benda yang sama.

Apa kena-mengena dengan aku, Sapi marah. Sampai sekarang!

Sapi rancang nak ke DBP petang nanti.

Thursday, June 04, 2009

Aku lewat lagi

Aku kejar masa. Tapi masa pantas dari aku. Makin aku kejar, makin masa jauh ke depan. Makin aku cuba gapai, masa makin tinggalkan aku.

Aku bangun lewat tadi. Terkejar-kejar. Lampu merah terasa berabad lama. Jalan terasa terlalu panjang. Jarak semacam tersangat jauh. Tapi aku pasrah. Dah tersurat punch card aku merah lagi.

NotaAddy : Ini komen aku di blog Cendana yang aku jadikan entri.

Monday, June 01, 2009

Kondisi 3

Lingkar bawah mata dah melampau hitam.
Luarnya saja kata Niza dah serupa anak tiga.
Mak selalu kata aku perlu rehat.
Ayah bising bila tiap kali Sabtu Ahad aku bagi alasan kerja.
Adik ngomel dah lama tak jenguk dia.
Tapi boss senyum suka.
Katanya anak muda patut jadi macam aku.
Kuat kerja dan tak buang masa.
Yang aku rasa? Macam cilakak!

Beban kerja buat aku hampir nak gila.
Serius aku perlu rehat!

NotaAddy : Oh ya, aku jumpa PatungCendana Sabtu lepas. Dia memang sempoi. Kamu memang rock Cendana. Haha! Untuk sikit cerita, masuk SINI!

Saturday, May 30, 2009

Gelap!

Yang kosong itu dah pon jadi satu.
Dan kerap kali aku harap yang satu mampu lahirkan dua.
Untuk tiga, aku masih berkira-kira.

Dan malam aku tetap sama. Gelap!
Harap siang kali ini mampu cerah.

Aku nampak matahari.

Sunday, May 24, 2009

Sapi : Sapi suka Sipah

Sapi suka Sipah. Sipah cantik. Maman kata macam awek doktor dalam Prison Break tu. Maman kawan baik Sapi. Dari kecil Sapi memang suka Sipah. Sapi pernah korbankan masa main bola dan konda-kondi dengan kawan-kawan sebab Sipah ajak main kahwin-kahwin. Sapi selalu berangan jadi suami Sipah betul-betul. Sapi nak anak ramai dengan Sipah. Sapi rasa Sipah pon suka Sapi. Tapi sekarang Sipah dah bertunang. Sapi tahu hukum kacau tunang orang besar dosanya. Sapi tahu pun sebab ibu yang cakap. Sapi tak mahu masuk neraka.

Kahwin pon boleh cerai, ini baru setakat bertunang. Kata Maman.

Bercakap macam takde agama. Sapi marah. Sapi memang bodoh. Tapi bukan maknanya Sapi langsung tak tahu pasal agama. Walaupun sembahyang Sapi tak pernah cukup lima. Walau puasa Sapi tak pernah genap sebulan. Sapi banyak belajar tentang agama dari arwah nenek dulu.

Tapi sebelum tidur tadi, Sapi ada terfikir kata-kata Maman. Sapi rasa macam nak buat benda bodoh esok pagi!

Thursday, May 21, 2009

Beku.

Beku. Yang dalam kepala. Dalam hati.
Walaupun matahari cuma sejengkal jaraknya.

Sunday, May 17, 2009

Kunang-kunang dan malam!

Malam tadi kunang-kunang datang. Kejut aku bangun dari mimpi yang cuma baru separuh. Kunang-kunang tanya apa aku mahu.

Aku jawab, dia.

Kunang-kunang balas, tak boleh sebab aku bukan tuhan.

Aku angguk.
Apa yang kau boleh bagi, aku sambung tanya.

Kunang-kunang jawab lagi, cahaya!

Aku kata, ok.

Aku sambung tidur sambil peluk bantal. Aku bayang peluk dia!

Wednesday, May 13, 2009

Remuk!

Malam terasa lambat merangkak ke penghujung. Aku cuma mahu sampai ke siang. Bukan ertinya aku sudah mula benci malam. Malam masih antara cinta aku. Masih antara kekasih yang paling setia. Aku cuma mahu lupakan yang semalam dan hari ini. Buang jauh-jauh ke dasar bumi remuk hati yang bersarang. Untuk cipta sesuatu yang baru menjelang hari esok.

Sunday, May 10, 2009

Kasih ibu


Kalaulah Addy mampu senaraikan setiap pengorbanan mak.
Kalaulah Addy terdaya perincikan setiap kasih dan cinta mak.

Yang ini bukan cuma dari Addy. Juga dari anak-anak mak yang lain. Dari Yong, Syida, Nisha, Huda dan Una. Juga dari setiap anak buat setiap ibu di dunia. Selamat hari ibu!

NotaAddy : Gambar sekadar hiasan. Bukan hak milik peribadi aku.

Thursday, May 07, 2009

Masih yang sama.

Yang berdegup itu masih hati yang sama.
Yang beza cuma mungkin isi dalamnya.

Tuesday, May 05, 2009

Patung Kertas 2 : Ini bukan review!

Ashraff Muslim cun gila. Tapi lenggoknya tak cukup. Belum cukup "perempuan". Kalau tak, memang aku dah jatuh cinta!
Ok. Berhenti dari berfikir sesuatu yang diluar rasional. Atau yang diluar batas fikiran.
Itu cuma komen sinis abang Pali selepas kami tonton Patung Kertas 2 di Matik, malam Sabtu lepas.
Dan bukan selalu kau dapat tengok Jalaluddin Hassan berbedak bergincu bermaskara segala macam sambil berjalan kepit-kepit. Haha!

. . . . . . . . . .

Itu pertama kali aku tonton teater. Dan ternyata agak berbaloi. Aku terhibur walaupun ada teman-teman yang kata Patung Kertas 2 bukan permulaan terbaik untuk aku mula berminat dengan pementasan teater. Ada yang nak ajak aku tengok Mahsuri?

Monday, May 04, 2009

Jambu

Kau makin jambu, kata Syauqi.
Aku syak Syauqi puji (aku klasifikasikan itu sebagai satu pujian) sebab aku pakai baju bunga-bunga malam tu. Aku masih kabur maksud "jambu" yang sebenar. Aku syak maksudnya mantap, kacak dan tampan. Haha!

Malam Jumaat lepas aku pergi Ipoh. Bertempat di dewan sekolah. Majlis makan malam bersama kawan-kawan sekolah. Bukan reunion tapi cuma perjumpaan dengan kawan-kawan lama. Bayangkan aku bersua muka semula dengan kawan-kawan yang dah terputus hubungan hampir sepuluh tahun. Dan jejakkan kaki buat pertama kali ke sekolah juga selepas sepuluh tahun. Terima kasih buat teman-teman yang masih mampu kenal aku.

Macam-macam yang kami bualkan. Perkembangan semasa. Perihal kerja. Bab rumahtangga. Sikit tentang cinta. Aku paling suka bila jumpa skandal lama. Sempat juga aku kenyit mata. Haha!
Ok. Memang macam-macam sebenarnya. Kalau aku perincikan satu persatu, kalian takkan baca tapi terus tulis komen. Sebab aku yakin akan berjela panjangnya. Mukadimahnya saja mungkin cecah lapan perenggan. Itu ikut penelitian aku sendiri. Itu belum masuk perenggan yang aku selitkan lawak jenaka aku yang aku pasti kalian akan cebik bibir sebab tak kelakar. Kalau gelak pon mungkin sebab kalian sekadar simpati. Atau sebab kalian dah jatuh hati dengan aku. Haha! Ok abaikan yang itu.

Tapi soalan yang paling kerap diajukan buat aku pasti kalian tahu.
Bila nak kahwin? Ok soalan ni dah selalu lekat dalam kepala otak. Bila dah selalu ditanya, jawapannya akan jadi macam-macam. Pelbagai.
Jadi buat kawan-kawan yang terima jawapan "Insyaallah, bulan tujuh!" dari aku, aku minta maaf. Itu dusta semata-mata. Cuma untuk buat kalian tutup mulut dan buat kalian bangga aku akan join the club. Dan buat teman-teman yang tak baca blog ini, maaf, pembohongan ini maksudnya akan berpanjangan. Kalau ada yang tanya nanti, mungkin jawapan aku "Bukan jodoh!" bakal menyusul. Ok. Sekarang aku gelak!

Aku masih tunggu gambar-gambar dari Qalif. Nanti aku letak gambar aku pakai baju bunga-bunga. Harap-haraplah. Jangan lupa puji aku jambu.

Friday, May 01, 2009

Markonah oh Markonah!

Tadi belek lagu-lagu dalam laptop(baca : komputer riba) aku.
Jumpa Mungkin Nanti dari Peterpan.
Terus fikiran aku jatuh pada cinta lama aku dulu.
Mari namakan dia sebagai Markonah saja.

Mungkin Nanti pernah jadi lagu aku dan Markonah.
Lagu yang melambangkan cinta aku dan Markonah.
Lagu yang buat aku dan Markonah mahu sehidup semati.
Lagu yang konon beri aku dan Markonah inspirasi.
Sehingga aku dan Markonah memang mengaku itu lagu kami.

Selalunya aku dan Markonah duduk dalam kereta.
Sambil tangan kanan aku paut tangan kiri Markonah(Markonah yang pandu sebab sampai sekarang aku masih belum punya lesen kereta).
Kemudian kami nyanyi sama-sama. Indah!
Sesekali aku kucup lembut tangan Markonah.
Markonah senyum sambil tunduk-tunduk malu.
Mesti kamu fikir aku romantik kan?
Markonah pernah cakap aku lelaki paling romantik.
Dulu itu yang aku selalu yakin.
Dan sekarang aku sedar yang Markonah cuma bohong.

Ya. Tiap kali dengar Mungkin Nanti mesti aku ingat Markonah.
Bukan sebab cinta aku masih bersisa buat Markonah.
Bukan juga sebab sayang aku pernah ada buat Markonah.
Tapi cuma sebab lagu itu betul-betul pernah merasuk aku.

Tuesday, April 28, 2009

Bawalah kami kembali ke Bumi!

Di puncak rangka logam ini.
Kami terasa terpencil dan dingin.
Wahai sang waktu singgahlah.
Bawalah kami kembali kepada.
Kehangatan dan bau rumput di Bumi.

(Bawalah kami kembali ke Bumi)

Abdul Latiff Mohidin.
Seniman dan penyajak Malaysia.

. . . . . . . . . .

Aku tak kenal siapa Abdul Latiff Mohidin. Mungkin patut tanya pada Wahyudimy. Aku baca dalam LRT masa balik dari Book Fair Ahad lepas.

Monday, April 27, 2009

Selamat hari lahir Una!


Ok. Addy lambat tulis.
Bukan ertinya Addy lupa.
Kamu selalu dalam hati Addy.

Moga bahagia Addy jadi milik kamu.
Dan moga derita kamu jadi milik Addy.

Kamu yang bongsu.
Tapi bukan ertinya sayang Addy selalu yang terakhir buat kamu.

Selamat hari lahir buat kamu.
Moga terus jadi manusia.
Dan buktikan pada semua, kamu mampu gegar dunia.

27 Apr 2009.
Selamat hari lahir Una!

Saturday, April 25, 2009

Rosna Abdul Latiff : Moga ketemu yang abadi

Buat Kak Yong, Bang Ngah, Bang Lang, Bang Teh, Achik dan Apah :

Hilang ibu bukan artinya kalian hilang hidup.
Anggap yang itu semua suratan dari Dia.
Bukan hak kita melawan takdir dari tuhan.
Kita cuma perlu terima dan redha.

Jangan terus menangis.
Kesat airmata yang jatuh.
Kuatkan semangat yang makin hilang.
Titipkan doa siang dan malam.
Kerna dari Dia kita datang, dan pada Dia juga kita kembali!

. . . . . . . . . .

Kak Yong,
Kak Yong cukup tabah. Tapi saat Kak Yong cium pipi arwah bonda untuk yang terakhir kali, butir jernih yang tumpah dari mata yang bercahaya itu buat airmata Addy juga turut jatuh. Moga terus kuat Kak Yong!

Bang Ngah, Bang Lang, Bang Teh,
Kalian manusia hebat. Saat aku tiba, kalian masih mampu senyum. Dan kalian masih mampu buat aku juga senyum. Tapi jangan terus simpan yang dalam hati kalian. Menangislah kalau perlu. Mungkin itu lebih baik dari kalian cuma simpannya dalam hati seorang diri. Tapi saat kita sama-sama mengangkat jenazah bonda kalian, aku dapat rasa cinta dan sayang kalian turut mengalir bersama. Meresap dalam aku. Saat kalian satu persatu mencium pipi arwah bonda kalian, hati aku sebak. Sungguh kasih anak pada ibu takkan ternilai.

Achik, Apah,
Kesat airmata yang jatuh. Jangan terus menangis. Jangan sesekali putus asa dengan hidup. Ya, kalian masih terlalu muda untuk ujian sehebat yang ini. Tapi jangan kecewa dengan ketentuan tuhan. Jadikan dugaan hebat ini untuk kalian lebih matang tentang erti hidup. Abang Addy takkan mampu faham apa yang tersirat dalam hati kalian. Tapi kalau perlukan apa-apa, abang Addy selalu ada untuk adik-adik abang Addy.

. . . . . . . . . .

Salam takziah buat Pak Njang dan keluarga atas perginya isteri/ibu tercinta, Allahyarhamah Rosna binti Abdul Latiff pada petang 23 April 2009 dan selamat dikebumikan pagi 24 April 2009. Moga arwah ketemu bahagia yang lebih indah bersama para kekasih-kekasih Yang Maha Esa di alam yang lebih kekal di sana Insyaallah. AlFatihah!

Wednesday, April 22, 2009

Rasa itu

Rasa itu bukan datang dari dalam jiwa.
Tapi datang dari kata dan prasangka.

Itu kata teman.
Bukan aku.
Dan aku tak memilih samada bersetuju ataupun tidak.

Monday, April 20, 2009

Kau perlu berubah, aku kata pada dia.

Kau perlu berubah, aku kata pada dia.

. . . . . . . . . .

Esok.
Datang dengan selendang panjang melilit leher. Cantik.
Macam Ekin, kawan-kawan kata.
Dulu dia cuma pakai tudung biasa.

Apa mimpi, aku tanya.
Aku berubah. Tukar imej, dia kata selamba.

Tepuk dahi.
Ok. Mesej aku tak sampai.

Friday, April 17, 2009

Hot sexy di balik lensa?

Sementara tunggu malam makin jadi hitam, aku belek-belek.
Antara keyword(baca : katakunci) untuk carian ke blog aku.

Arkitek gaji berapa.
Puisi hari lahir buat ibu.
Soalan trigonometri.
Perempuan simpanan sindiket soljah.
Addyholix (ejaan kalian selalu salah!)
Slanga Terengganu.
Mimi.
Jawatan kosong April 2009 arkitek lanskap.
Takkan melayu hilang di dunia.
Kerajaan bisnes.
Hot sexy di balik lensa.

Hot sexy di balik lensa?

Aku gelak dekah-dekah umpama aku tahu aku bakal mati seminit dua lagi. Gelak sehabis mahu!

NotaAddy : Ya aku seksi. Aku cuma malas mengaku. Haha!

Wednesday, April 15, 2009

Monolog kau aku

Kau tak nampak aku.
Tapi aku nampak kau.

Kau tak pernah nampak aku.
Tapi sungguh aku selalu nampak kau.

Bukan sebab aku halimunan.
Bukan juga sebab kau di kanan.

Sungguh bukan sebab yang itu.

Kau tak nampak aku.
Tapi aku nampak kau.

Mungkin sebab kau tak berkenan.
Dan mungkin sebab aku yang dalam angan-angan!

Monday, April 13, 2009

Dia yang seolah membunuh

Bila dia datang, aku selalu cuma diam.
Selalu sepi langsung tanpa bicara.
Pejam-erat-mata-kerut-dahi-kejap-mulut-rapat.
Tapi dia seolah membunuh.
Sakitnya umpama hulu tajam pisau yang mencucuk!

Tapi sungguh, itu bukanlah apa-apa.

UPDATE : Dia bukan siapa-siapa. Dia itu cuma sakit yang datang. Tapi sungguh, itu bukanlah apa-apa!

Thursday, April 09, 2009

Syukur aku masih mampu hidup!

Aku cuba injak kaki pada tanah. Mulanya terasa seperti aku mampu. Tapi perlahan-lahan tubuh aku jatuh layu ke bumi. Kaki aku patah. Cuma itu yang mampu keluar dari fikiran. Dan tiba-tiba dunia jadi gelap dan aku terus lupa semua.

Ya. Aku kemalangan!

Kaki kanan aku seolah beku. Tulang paha kanan aku patah terus. Langsung kaku seolah mati. Kelopak mata kiri aku koyak teruk. Pedih. Terasa kulitnya yang jatuh menimpa mata setiap kali aku cuba berkelip mahu melihat. Darah menitik terus. Dan aku boleh buta kalau serpihan kacamata masuk terus ke dalam mata. Tulang belakang aku retak dan hampir patah. Kata doktor, kalau silap pergerakan, aku mungkin lumpuh. Hati aku menangis. Bukan cuma itu, hati aku dah betul-betul meraung.

Tapi itu cerita sembilan tahun dulu. Aku tiba-tiba teringat bila belakang aku kerap sakit sejak kebelakangan ini. Tapi kata doktor, itu kesan sampingan yang perlu aku terima dan tanggung selagi hayat aku ada.

Tapi aku syukur aku masih mampu berjalan. Walaupun tak sesempurna manusia lain. Aku tetap syukur aku masih diberi peluang melihat dunia. Dan aku paling bersyukur bila mana aku masih mampu bergerak bebas seperti orang lain.

Aku selalu pesan pada hati. Selalu syukur dan terus bersyukur!

Tuesday, April 07, 2009

Jangan Kau ambil aku.

Tuhan.
Jangan Kau ambil aku.
Tatkala aku masih belum mampu sedar.

Tuhan.
Jangan Kau ambil aku.
Tika aku masih kotor dengan dosa.

Tuhan.
Jangan Kau ambil aku.
Kala aku belum puas sujud pada-Mu.


NotaAddy : Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Arshat Kassim yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di tanah suci Makkah Al-Mukarramah petang semalam. Moga arwah disucikan segala dosa dan ditempatkan di kalangan yang beriman. Amin.

Saturday, April 04, 2009

Bonjour yang cuma Selamat Pagi.

Malam pesta, muda-mudi,
Bertemasya dan menari,
Suka, duka, dalam hati... (Ulang dua kali).

Telefon bimbit aku bunyi.
Aamir SMS. Dari benua yang lain. Jauh.
Bonjour, kata Aamir.
Positifnya, aku senyum sebab Aamir masih ingat aku.
Yang negatif, mungkin silap hantar. Itu fikir aku sendiri.

Ikon senyum. Dah tak pandai bagi salam?, aku balas.
Ikon senyum. Assalamualaikum. Bonjour, SMS Aamir masuk lagi.
Aku jawab. Dalam hati. Senyum.
Bonjour? Maksudnya?, aku balas lagi.
French. Urgent. Aamir balas ringkas.
Tiga empat SMS kemudiannya aku hantar tapi Aamir terus diam.

Semalam singgah Times.
Cari, cari dan cari.
Jumpa Collins French Phrasebook : The Right Word In Your Pocket.
Aku beli. Cuma sebab rasa ingin tahu yang membuak-buak.

Damn. Maksudnya cuma selamat pagi. Entah apa yang penting. Damn lagi.
Aku SMS Aamir. Carut-carut sikit. Kemudian ikon senyum lagi.
Kau dah melangkah satu tapak ke hadapan. Kata nak berhijrah. Ikon senyum, SMS Aamir.
Aku sambung senyum. Senyum aku kali ini lama.

Aku bahagia punya kawan-kawan yang mampu buat aku senyum.
Ya. Walaupun cuma sekadar senyum.
Mudah kan?

Malam pesta, muda-mudi,
Bertemasya dan menari,
Suka, duka, dalam hati... (Ulang dua kali).

SMS siapa pulak?

Friday, April 03, 2009

Aku hisap rokok, bukan makan kotak!

Letaklah gambar apa sekalipun.
Kalau dah gian, aku dah tak peduli itu semua.
Kalau dah kempunan, aku dah tak ambil kisah.

Tapi bayi pra-matang buat aku fikir dua tiga kali.

Tapi kawan pernah cakap.
Aku hisap rokok, bukan makan kotak!

NotaAddy : Aku teringat Naaim yang suka kumpul kotak rokok limited edition. Yang terbaru sekarang, pon dikira limited edition jugakah?

Tuesday, March 31, 2009

Semua yang masih sama dan serupa

Matahari itu masih terang terik.
Kalaupun hujan dari Dia, tetap tiada beza.
Bila malam, masih tetap gelita.
Sungai yang satu itu masih mengalir.
Walau warnanya tak lagi sama.
Hijau sekeliling masih tetap serupa.
Kotanya masih kota yang lama.
Bisingnya juga masih celaka.

Cuma hati dan rasa saja yang dah berubah.
Langsung dari yang asalnya.

Saturday, March 28, 2009

Cinta

Cinta itu datang, tapi hilang waktu belum sempat aku hidu wangi indahnya.

Thursday, March 26, 2009

Salam malam pada dunia!

Sunyi malam paling setia jadi teman.
Mata masih belum mahu labuh tutup alis kelopak.
Letih badan tak mampu paksa tubuh untuk terus hanyut.
Jemari panjang pendek masih mahu lincah.
Tapi yang dalam cetek fikiran seolah mahu berhenti untuk semua.
Yang mahu cuma ucap selamat malam pada dunia!

Wednesday, March 25, 2009

Selamat bertunang buat Yong.


Dua yang bakal jadi satu.
Dua rasa.
Dua hati.
Dua jiwa.
Yang berkumpul dalam satu cinta.

21 Mac 2009.
Selamat bertunang buat Yong.
Moga bahagia yang datang bukan cuma seketika.

Friday, March 20, 2009

Camar yang terbang pulang.



Aku mahu pulang. Jadi aku tinggalkan kalian dengan yang ini. Ini aku rakam waktu perjalanan menuju Bursa tika menyusur Laut Hitam (baca : Black Sea) melalui Yalova, Orhangzi dan Gemlik di Turki dulu. Titik.

Thursday, March 19, 2009

Jangan langsung!

Sungguh aku tak mampu telah hati manusia. Aku bukan pawang. Aku bukannya bomoh. Aku bukan ahli magis pon. Aku bukan siapa-siapa.

Cuma tinggal dua lagi malam untuk jejak hari tujuh. Itu majlis Yong. Aku cuma harap langsung tiada yang bicara tentang aku. Langsung!
Atau mungkin baik kalau tiada yang perasan aku wujud.

Kali ini mungkin aku akan lebih banyak diam. Dan sambung senyum.

. . . . . . . . . .

Ya, dalam hati aku juga punya taman.
Malah pernah berbunga mekar.
Cuma dahannya saja yang seringkali patah!

NotaAddy : Aku pernah tulis rangkap yang ini untuk seorang kawan juga. Lama dulu aku kira. Dan aku pinjam semula.

Monday, March 16, 2009

Sungguh-sungguh aku tak pernah lupa!

"Dah lupa aku? Susahkan nak taip msg je pon.", aku dapat SMS Zaim petang tadi.
Zaim antara kawan terbaik aku.
Kawan yang paling rapat dan dekat dengan aku di kolej dulu.
Kawan yang selalu aku kongsi segala emosi yang ada dalam diri aku.
Kawan yang menjadi mata tika aku hampir buta.
Kawan yang menjadi mulut bila aku hampir bisu.
Kawan yang menjadi telinga saat aku hampir pekak.
Kawan yang menjadi kaki tatkala aku hampir lumpuh.
Kawan yang bukan cuma setakat kawan biasa.
Kawan yang bukan cuma sekadar teman bicara.
Kawan yang aku istilahkan sahabat.
Kerna pengertian aku tentang kawan dan sahabat sangat berbeza.

"Sejak dok KL macam dah x ingt asha.", SMS Asha seminggu dua dulu yang masih aku simpan dalam kotak mesej bimbit aku.
Asha juga kawan aku.
Asha muda empat tahun dari aku.
Asha aku anggap adik.
Asha yang cantik dengan rambut kerinting kembangnya.
Asha yang aku pernah marah bila dia luruskan rambut.
Tetap cantik, tapi aku lebih suka Asha yang asal.
Aku lebih suka Asha yang asli.
Walaupun Asha cantik, aku cuma anggap Asha tak lebih dari seorang adik.
Dan adik-adik aku memang selalunya yang cantik-cantik.
Tempoh hari Asha datang Kuala Lumpur pun aku tak sempat jumpa.
Walaupun sekejap.

Dan lama dulu Mone pon pernah mengomel perkara yang sama.
Mone juga antara kawan yang kekal jadi kawan aku.
Mone juga sama dengan Asha.
Bezanya Mone berambut lurus.
Dan aku pernah bising-bising bila Mone kerintingkan rambut lurusnya.

Sungguh aku tak pernah lupa.
Jauh sekali buang kalian terus dari hati aku.
Mana mungkin aku lupa manusia-manusia yang selalu berdiri disamping aku.
Mana mungkin aku mampu campak keluar kalian dari kotak fikiran bodoh aku.
Mana mungkin aku mampu padam kalian dari dalam hidup bosan aku.
Mana mungkin!

Aku cuma kadang-kadang lupa untuk ingatkan diri aku yang aku masih punya kalian.
Teman yang selalu ada untuk aku.
Teman yang selalu setia pada aku.
Teman yang sentiasa hidup dalam aku.
Sungguh aku langsung tak pernah lupa.
Walaupun sedetik.
Kerna aku sudah punya ruang untuk kalian semua dalam hati kecil naif aku.

Sungguh-sungguh aku tak pernah lupa!

Wednesday, March 11, 2009

Kondisi 2

Renung malam dalam-dalam.

Cuma mungkin layar koyak putih.
Langsung tanpa siapa-siapa, atau apa-apa.
Kalaupun ada titik hitam cuma.
Titik hitam yang bukan cerita.
Titik hitam yang bukan bahagia.
Tapi titik hitam yang mungkin artinya dosa.

Tuhan, Kau genggamlah aku.
Kau letaklah aku diantara mereka.
Mereka-mereka yang Kau janjikan syurga!

Monday, March 09, 2009

Kondisi.

Badan mula sejuk.
Mata terasa bahang.
Tekak kembali loya.
Mukus-mukus kerak bertukar cair.
Aku kira panas badan semalam datang semula.
Kali ni memang aku perlu rehat yang betul-betul rehat.

Salam Maulidurrasul!
Orang bercuti tapi dalam demam aku masih perlu kerja.
Harap tahun ini aku dapat anugerah pekerja contoh!

UPDATE : Sekarang 1156 malam, dan aku masih di pejabat!

Saturday, March 07, 2009

Kencan Fantasi [serpihan TAG manusia sang Azie]

Kali ini aku ditag oleh seorang adik simpanan yang aku kira sudah mula sayangkan aku. Kalaupun dia menafikan, kamu tahu kan perempuan, nalurinya memang sifat pemalu itu ada. Tak banyak mungkin sikit. Jadi abaikan. Cuma dia yang tahu hatinya. Haha!

Ok. Kali ini persoalannya tentang kencan fantasi. Kencan menurut Cik Azie maksudnya janjitemu. Aku kurang arif yang sepatutnya janjitemu atau temujanji. Tapi kamu pasti faham, maksudnya tetap sama.

Ok kita hayati kencan fantasi aku!

5 KENCAN FANTASI SEORANG ADDY.

1) Main layang-layang. Kalaupun dia cuma lihat sambil ketawa riang. (Tok, sungguh aku tak tiru kamu tok, ini memang antara fantasi aku. Haha!)
2) Dia bergerak bebas, sambil aku ketik kamera ambil fotonya. Bukan hasil yang aku mahu, cuma detik itu yang aku puja.
3) Dengar dia bercerita penuh teruja sambil ketawa gembira, aku cuma senyum. Itu dah cukup bahagia. Suasananya mungkin dalam dingin malam yang buat aku fikir, perlukah aku bangun dan dakapnya supaya lebih hangat. Ah, fantasi tetap fantasi.
4) Berbaring atas pasir halus putih mulus tepi pantai yang cuma kami berdua sambil lihat matahari terbenam. Atau juga sambil merenung malam yang punya cahaya bulan yang samar-samar sambil mengira kelip bintang. Aduh! Sungguh aku paling mahu yang satu ini.
5) Bercinta dengan Liyana Jasmay. Kalau yang ini mampu aku gapai, aku sanggup tutup blog. Haha!

Dan dalam adegan kencan fantasi aku, aku tak perlu dalam keadaan berpegang/berpimpin tangan macam Cik Azie. Sebab dalam kencan fantasi aku, hati kami dah pun bersentuh. Bersatu. Dan berdakap rapat. Romantikkan? Haha!

Dan untuk buat kencan fantasi aku jadi kencan yang realiti, aku perlukan gadis-gadis gebu yang seksi. Untuk dapatkan borang, kamu boleh guna dua cara :

1) Tapi "ON ADDY" dan hantarkan ke 22288
2) Layari laman web www.kencanfantasiaddy.com

Dan kali ini aku senaraikan manusia-manusia yang aku mahu TAG :

1) Wahyudimy (Aku yakin kau takkan jawab. Haha)
2) Cendana (Kamu akan jawab, saya yakin!)
3) Chimera (Kamu wajib jawab bang. Haha!)
4) Miezi (Buat kalau bosan dah merayap dalam diri kau nanti, aku tunggu!)
5) Kay (Jawab guna tulisan kamu yang indah-indah)
6) Ad Rifza (Cuma mahu kamu sikit gembira bang. Haha)
7) Nizam.ariff (Aku harap hati kau terbuka untuk buat bang!)
8) Princess Liyana (Kamu dah jawab, tapi saya masih nak TAG kamu. Haha!)
9) Azie (Berani jawab lagi sekali? Haha!)
10) Kamu dan kamu dan kamu. Ya sungguh. Aku tuju jari buat kamu!

Thursday, March 05, 2009

Dia

Dalam diam dia datang.
Dalam kelam dia tiba-tiba ada.
Tanpa sebarang apa-apa.
Entah langsung dari mana.
Tapi hadirnya tak lama.
Munculnya cuma seketika.

Sungguh suara itu makin kian hilang!

Wednesday, March 04, 2009

Takkan melayu hilang di dunia

Takkan melayu hilang di dunia.
Sungguh!
Melayu tak pernah hilang.
Yang hilang cuma adat dan budaya.

Apa ada pada adat?
Apa yang ada dengan budaya?
Kita kan makhluk moden yang cuma mahu kemajuan semata.
Huh!

Monday, March 02, 2009

Pekan Frinjan yang dalam basah hujan


Hati aku tertarik cuma bila aku baca "Buku Independen" yang tertulis dalam poster yang warnanya kuning merah jambu itu. Dan aku suka tagline ; Bukan sekadar flea market! Cool kan?

Ya. Aku tertarik cuma sebab buku independen (aku ikut susunan aksara pada poster) saja sebenarnya. Tapi aku kecewa bila Perburuan tulisan Pramoedya Ananta Toer tak sempat aku capai. Aku salahkan kak Alina sebab cuma bawa satu salinan. Ya, aku sempat berkenalan dengan kak Alina Abdullah. Dia nampak comel dengan baju bunga-bunga orennya. Aku mimpi senyum dia dalam tidur malam tadi. Haha!

Petangnya aku sempat jamu mata dan halwa telinga dengar Gig Akustik, Gurindam Gitar Menangis. Aku sangat selesa dengan persembahan Mysthicus. Aku suka. Sangat suka sebenarnya. Dan aku sempat beli CD lagu-lagu Mysthicus. Tapi aku lebih suka Mysthicus yang aku jumpa berbanding CD yang kualitinya agak kurang bagus. Aku tak pasti samada CD aku yang rosak atau apa. Tapi sungguh Mysthicus bagus sekali bila live. Hidup!
Dan tutur kata yang keluar dari vokalisnya manis sekali, bisa buat gadis-gadis juga bukan gadis jatuh cinta. Tapi aku langsung tak jatuh cinta. Sungguh. Haha!

Dan aku juga tertarik dengan Wani Ardy. Ini pertama kali aku dengar lontaran suara Wani Ardy dan suaranya sangat bagus. Kalian bayangkan, si perempuan cantik manis yang rambutnya beralun lembut ditiup angin petang, yang menyanyi lagu-lagu puitis berbuai indah sambil berdiri rapat petik gitar. Aku ulang ; perempuan cantik. Dan sekelilingnya kedengaran bunyi titis-titis hujan dan cahaya yang samar-samar (hampir jengah malam atau senja paling tepat). Romantikkan? Jadi apa lagi yang kalian mahu dalam hidup?
Sekarang aku keliru untuk memilih antara Wani Ardy atau Liyana Jasmay. Haha!

Persembahan yang lainnya juga bagus, cuma yang betul-betul lekat dalam kotak fikiran aku cuma mereka yang dua ini. Kau yang teristimewa Wani Ardy. Dan aku jatuh cinta dengan bidadari Mysthicus!

Dan dari awal juga aku perhati lelaki berkardigan kelabu yang jinjit Nikon D80-nya. Persis profesional. Jangan salah faham. Aku perhati bukan berlandaskan nafsu syahwat yang gila tapi cuma rautnya yang seolah biasa aku lihat. Dan ya, dia Aie Akaike. Salam kenalan dari aku Aie!
Aku sendiri terkejut bila aku berani tegur kau sebab selalunya aku cuma lihat dari jauh sebab aku memang selalunya begitu. Dan Vovin memang aku tak berani tegur, sebab dia terlalu otai untuk aku. Haha!

NotaAddy : Kecewa tak peroleh Perburuan, tapi aku dapat Gulat di Jakarta dan Subuh tulisan Pram. Juga lima buku lainnya. Dan aku beli Dua Lauk sebab Taf Teh ada sama.

Salam hari lahir buat mak!


Salam hari lahir buat mak!
Tiada bait indah yang mampu Addy tulis untuk mak.
Tiada kata-kata yang mampu Addy ucapkan pada mak.
Kerna kasih mak terlalu agung untuk Addy abadikan hanya dengan sebuah puisi biasa.

Sayang Addy takkan pernah hilang.
Kerna yang mengalir dalam setiap inci tubuh ini adalah dari cinta mak.
Kerna yang mengisi setiap rongga dalam diri ini adalah dari kasih mak.
Salam hari lahir buat mak!
Sungguh, doa Addy sentiasa yang teratas buat mak!

NotaAddy : Aku juga pernah tulis tentang mak, untuk baca semula, klik sini.

Saturday, February 28, 2009

Hidup .....

Hidup kadang-kadang nampak mudah.
Bila warnanya cuma antara dua ; hitam dan putih.
Tapi hidup bukan cuma ada hitam dan putih.
Hidup boleh jadi lebih dari sekadar hitam putih.
Warnanya boleh jadi macam-macam.

Wednesday, February 25, 2009

Kau pernah rasa?

Kau pernah rasa tak diperlukan?
Kau pernah rasa seperti tak dihargai?
Kau pernah rasa seolah dikhianati?
Kau pernah rasa hati kau seakan dicucuk-cucuk, dihiris-hiris?
Kau pernah rasa jiwa kau umpama disiat-siat halus?
Kau pernah rasa diri kau semacam ditikam bertubi dan dilapah?
Kau pernah rasa?
Setelah kau korbankan semua, akhirnya kau cuma dipandang sebelah mata.
Atau langsung disisih dibiarkan seorang diri.
Seolah kau diikat kaki tangan dan diletak di penjuru bilik yang gelap samar.
Yang kau mampu buat cuma melihat orang lain ketawakan nasib kau.
Seolah kau terpaksa membenarkan apa yang berlaku tanpa sebarang rasa.
Seolah kau langsung tak punya kudrat untuk mengubah apa-apa.
Seolah-olah kau manusia dangkal bodoh dungu yang langsung tiada guna.
Kau pernah rasa semua tu?
Aku bukan mahu ungkit.
Cuma mahu kau tahu yang aku bukan malaikat.
Cuma mahu kau sedar aku juga manusia.
Yang tahu peritnya rasa bila benci datang.
Kali ini memang aku betul-betul rasa nak mencarut!
Damn it!

Nisha : Salam hari lahir!


Addy selalu cakap Addy manusia biasa.
Addy kerap tulis Addy lelaki biasa.
Sungguh Addy memang cuma makhluk tuhan yang biasa-biasa.
Tapi kamu tahu sesuatu?
Addy rasa luar biasa bila Addy punya kamu.
Addy mampu jadi luar dari biasa bila kamu ada untuk Addy.

Walau kamu jauh beribu batu.
Tapi kamu harus ingat yang kamu tetap punya Addy.
Dan sayang Addy tetap ada buat kamu.

Cinta, kasih dan sayang Addy takkan mampu berubah.
Kamu tetap adik Addy sampai hujung nyawa.

Selamat hari lahir Nisha!

Sunday, February 22, 2009

Malam pasti datang.

Malam tadi berlalu.
Dan siang kembali.
Tapi malam takkan pergi terus.
Malam takkan hilang.
Malam akan kembali.
Malam pasti datang.
Malam yang muncul akan tetap sama.
Malam yang penuh dengan gelap pekat.
Yang sentiasa punya bulan.
Yang terkadang nampak bintang.
Cuma "rasa"nya yang mungkin berbeza.

Tapi malam pasti datang.
Melainkan dah tersurat, siang ini yang terakhir!

Thursday, February 19, 2009

Aku mahu sehebat dia!

Dedikasi buat seorang yang aku istilahkan sahabat :

Aku mahu sehebat dia.
Walau hati hampir hancur, dia masih kuat.
Walau jiwa hampir musnah, dia masih gagah.
Dia masih mampu ukir senyum.
Aku mahu sehebat dia.

Sungguhlah.
Bila mainan emosi datang, manusia sekuat Hang Tuah pun mampu tewas.

Sungguh aku mahu jadi sehebat dia!

Tuesday, February 17, 2009

Selamat tinggal Mimi!

Sayangnya aku pada Mimi lebih dari yang lain.
Kasihnya aku pada Mimi tak pernah aku ucap.
Cintanya aku pada Mimi tak pernah aku tunjuk.
Tapi kini Mimi tiada lagi.
Petang tadi Mimi hembuskan nafasnya yang terakhir.
Mimi dah pergi jauh.
Mungkin waktu ini Mimi sedang perhati aku dari syurga.
Ya. Mimi dah hilang terus dari hidup aku.
Tapi aku yakin, Mimi pergi kerna tuhan lebih tahu.
Kerna tuhan lebih sayangkan Mimi.
Mungkin kasih dan sayang Dia lebih utuh dari aku yang cuma manusia biasa.
Tapi kenangan aku dan Mimi akan aku simpan kemas dalam hati.

Selamat tinggal Mimi!
Rindu aku pasti sentiasa ada untukmu.
Moga kau damai disana.

NotaAddy : Bekas cakar Mimi masih ada pada betis kiri aku. Dan Mimi tinggalkan Milo dan Miko sendiri.

Monday, February 16, 2009

Enam [Serpihan TAG manusia Chimera]

Terima kasih untuk yang TAG aku. Aku anggap kamu ingat aku. Jadi untuk buat kamu fikir aku juga ingat kamu, aku jawab juga. Dah lama tak jawab TAG. Sebenarnya jawab TAG bukan passion aku. Tapi cuma sebagai menghargai kawan-kawan yang kita(baca : aku) suka!

Kali ini Chimera TAG aku.

Antara sebab utama aku jawab adalah :
- Syarat yang mudah.
- Aku tak perlu taip panjang-panjang.
- Tak perlu jawab soalan.
- Sebab aku kurang idea untuk update. Haha!

Ok. Jom!

• Go to your photos folder in your computer.

• Go to the 6th folder of photos.

• Go to the 6th picture in that folder.

• Put the picture on your blog and description of it.

• Invite six friends to join the challenge.

• Link them in your blog and let them know they have been challenged.

(Aku penat nak terjemahkan ke dalam bahasa melayu, jadi kamu faham-faham sendirilah!)


Ini gambar ke enam edisi office(baca : pejabat). Kalau edisi laptop(baca : komputer riba) di rumah, gambar-gambarnya lebih ada umphh! Mungkin kamu boleh lihat aku versi seksi dan menghairahkan. Haha!

Maaf, kualiti gambar kurang memuaskan. Cuma pakai kamera handphone (baca : telefon bimbit).

Keterangan : Masa pergi Genting lama dulu dengan kawan-kawan. Tahun 2007 kalau tak silap. Berkot putih itu sahabat karib aku. Zaim. Terima kasih jadi sahabat aku. Moga tuhan mampu balas semuanya kelak!

NotaAddy : Aku tak mahu TAG siapa-siapa. Jawab saja kalau kamu gian dan sukakan TAG. Atau kamu juga boleh gunakan ini sebagai alasan untuk kamu update blog. Titik!

. . . . . . . . . .

Dan untuk TAG-TAG yang lain, nanti aku jawab!

Saturday, February 14, 2009

Shit ini untuk aku.

Kawan-kawan ajak keluar.
Jalan-jalan.
Makan-makan.
Yang tak sedapnya semua berpasangan dan cuma aku yang seorang.
Persetankan semua.
Aku akan buktikan walau seorang, aku tetap bahagia.
Aku tak perlu berpimpin tangan, atau merenung anak mata ataupun bercumbu mesra untuk memperlihatkan yang aku bahagia.
Bahagia aku ada dalam hati.

Dalam masa sama, aku SMS kawan-kawan yang bujang untuk ikut serta.
Tapi haram, baru aku tahu semua dah bercinta.
Shit! (Shit ini untuk diri sendiri sebab tak pernah tahu hal kawan-kawan).

Bercinta bagai nak rak pon, tak semestinya kau bahagia kan?
Sebab cinta itu perlu datang dari dalam.
Bukan cuma perlu kau tonjolkan pada khalayak.
Tapi sungguh aku bukan anti cinta.
Dan aku tak pernah sesekali menolak cinta, aku cuma ketepikan buat sementara.

NotaAddy : Aku baru rancang nak ajak gadis genit seksi yang aku kenal dalam LRT dulu. Harap-harap dia belum bercinta macam aku. Haha!

Friday, February 13, 2009

Esok hari sambut kekasih

Panorama indah di Bursa, Turki 14 Dis 2008


Esok hari sambut kekasih.
Esok hari untuk hargai kekasih.
Esok hari untuk tunjuk rasa kasih.
Tapi aku tak sambut hari kekasih.
Mungkin sebab Islam tak unjurkan untuk sambut.
Salah satu sebab lainnya lah.
Tapi yang utamanya, sebab aku tak punya siapa-siapa.
Jadi aku tak perlu beli bunga.
Tak payah susah-susah pilih coklat.
Tak perlu nak tempah restoran.

Kalau punya kekasih, aku akan sambut hari-hari.
Tanda sayang aku pada sang cinta.
Bertuahkan siapa miliki aku. Haha!

Monday, February 09, 2009

Faham itu mudah!

Faham itu mudah.
Memahami itu yang susah.
Selalu harap hidup cuma perlu faham, tanpa perlu memahami.
Semua jadi senang kan!

Petang semalam kami bercerita tentang yang ini.

Sunday, February 08, 2009

Seorang aku yang aku

Layang-layang itu terbang tinggi.
Seolah mahu capai langit.
Setinggi impian yang manusia seperti aku cuba gapai.
Setinggi cita-cita insan yang sekerdil aku mahu pegang.
Sungguh!

Petang ini aku cuma perhati kerangka kertas itu terbang jauh di langit biru.
Walaupun aku cuma seorang diri, tapi aku tenang dan bahagia.
Bahagia tanpa siapa-siapa yang bergelar cinta.

Saturday, February 07, 2009

Tentang kosong dan malam(lagi) !

SATU :
Aku kembali lagi.
Tapi kembali aku bukan dengan apa-apa.
Kembali aku cuma dengan tangan yang kosong.
Kembali aku cuma dengan tangan yang amat kosong.
Kembali aku cuma dengan tangan yang terlalu kosong.
Ya, aku sengaja ulang.
Untuk menggambarkan kembalinya aku memang betul-betul dengan sesuatu yang sangat sifar (kosong juga sifar, tapi aku tak pasti kalau penggunaannya buat ramai yang tak setuju).
Kembali dengan sesuatu yang langsung tak dapat dilihat.
Dengan sesuatu yang langsung tak dapat dihidu.
Dengan sesuatu yang langsung tak dapat didengar.
Dengan sesuatu yang langsung tak dapat disentuh.
Dengan sesuatu yang langsung tiada apa-apa.
Ringkasnya, kembali dengan sesuatu yang langsung tidak wujud.

DUA :
Malam ini malam MASKARA.
Malam ini malam sesak di rumah PENA.
Malam ini malam bersuka ria.
Malam ini malam untuk semua.
Malam ini malam kawan-kawan yang kita suka.
Sebab malam ini malam baca naskah Sindiket Soljah dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka.
Tapi malam aku tetap malam yang sama.

NotaAddy : Terima kasih buat teman-teman yang ringan mulut ajak ke MASKARA. Mungkin malam ini bukan malamnya. Malam-malam akan datang siapa tahu kan!

Sunday, February 01, 2009

Addy bila lagi?

Jumaat lepas ayah datang (mungkin ayah baca entri aku yang dulu).
Tapi tak sempat luangkan banyak masa untuk ayah.
Sebab aku perlu kerja hingga lewat. Malam tu aku balik dua pagi.
Lagipun ayah datang tak rancang. Langsung tiba-tiba. Mengejut.
Ada kerja sikit, kata ayah.
Nasib baik Syida ada untuk jemput ayah.
Jangan buat andaian yang bukan-bukan. Syida adik aku. Adik kandung aku. Dari mak dan ayah yang sama. Dari darah dan daging yang sama. Haram sama sekali untuk bernikah. Titik.

Yang ini pun tak dirancang.
Ayah muncul tiba-tiba depan office(baca : pejabat) aku. Muncul dengan senyum-senyum. Sambil sengih-sengih.
Syida yang ajak, kata ayah.
Aku tengok Syida, dan Syida pun senyum-senyum. Sambil sengih-sengih.
Aku turut sama senyum-senyum. Sambil sengih-sengih.
Ayah ajak makan.
Syida belanja, kata ayah.
Aku jarang tolak rezeki yang datang bergolek depan mata.
Pesan arwah tok, rezeki jangan ditolak, itu dari tuhan.
Dan kali ini, aku betul-betul bersusah payah, berusaha keras, mengerah tenaga dan mengumpul kekuatan untuk tak mengabaikan pesan arwah tok. Sungguh!

Yong bertunang cuti sekolah bulan Mac nanti, baliklah, kata ayah.

Aduh!
Yang ini paling aku tak suka.
Bukan tak suka Yong nak bertunang. Aku suka.
Yang aku tak sukanya sebab lepas ini mesti ramai yang akan tanya soalan biasa.
Tanyalah soalan trigonometri atau fizik yang aku tak pernah belajar sekalipun, aku mesti cuba usaha untuk cari jawapannya.
Tapi untuk soalan, "Addy bila lagi?", memang aku cuma akan kerut muka sambil buat-buat sengih lebar dan sedaya upaya cuba ubah topik.
Ayah juga pernah tanya dulu, dan macam biasa, aku langsung tak jawab.
Kalau boleh aku nak pakai baju bertulis, "Jangan tanya apa-apa, Addy belum sedia!".

NotaAddy : Sudahnya aku juga yang belanja. Syida cuma tambah RM10. Sebab dalam poket aku cuma berbaki RM60. Belum gaji. Aku balik dengan poket kosong, dan dengan harapan gaji dah masuk!

Saturday, January 31, 2009

La La La Kerjalah!

Dah pukul dua lebih. Kerja apa jadahnya sampai pukul dua pagi. Dah, balik-balik!

Esok awal-awal pagi dah nak kena gerak ke airport(baca : lapangan terbang).

Thursday, January 29, 2009

Malam dan siang

Malam gelap pekat datang lagi.
Masih kelihatan sama seperti yang dulu.
Langsung tiada busuk celanya.
Bulan tetap ada walau jauh kelihatan.
Bintang masih wujud walau samar nampaknya.
Tapi entah kenapa kali ini aku tak sabar tunggu siang.
Bukan sebab malam hilang indahnya.
Tapi mungkin sebab siang janjikan harapan buat aku.


NotaAddy : Aku tujukan yang ini buat seorang teman baik. Dia cuma teman. Sungguh. Tiada yang istimewa antara kami. Jadi jangan tanya yang bukan-bukan. Aku anggap tulisan ini seolah penghargaan aku buat dia yang banyak membantu. Juga kerna dia suka tulisan aku berkaitan malam.

Sunday, January 25, 2009

Jangan harap apa-apa

Jangan harap apa-apa.
Sebab aku cuma lelaki biasa.
Sungguh aku maksudkan.
Jangan langsung kamu harap apa-apa dari aku.
Sebab aku cumalah lelaki yang biasa-biasa.

Friday, January 23, 2009

Ayah, Addy tak balik!

Ayah, sungguh memang Addy tak dapat nak balik!


Memang tak balik lah?, ayah SMS.
Siapa cakap Addy tak balik?, aku.
Jadi, baliklah ni?, nada ayah dah macam suka.

Satu-satu anak bujang ayah nak balik, mesti ayah seronok.
Berjemaah di surau nanti mesti ayah jaja yang anak bujang ayah nak balik pada ustaz Azmi; bilal surau, Pak Ali; penghulu taman, pakcik Zam, pakcik Dan, Pak Chat; jaga, suami puan Jasmin yang aku tak ingat nama, dan kawan-kawan ayah yang lain.
Lepas maghrib mesti ayah tak baca Al-Quran macam selalu.
Mesti ayah sibuk jual cerita anak bujang ayah nak balik.
Kawan-kawan ayah mesti senyum.
Paling teruk pun gelak.
Ayah ingat kawan-kawan ayah gelak sebab tumpang seronok.
Padahal kawan-kawan ayah gelakkan ayah.

Siapa cakap Addy balik?, aku balas SMS ayah.
Ayah telefon terus. Aku kira ayah dah tak sabar.
Balik ke tak ni?, ayah.
Addy cuba balik tapi tengoklah. Tapi rasa macam tak dapat nak balik. Aku.
Confirm tak balik lah ni?, ayah.
Bukan.
Habis?, ayah lagi.
Bukan confirm tak balik, tapi tak confirm balik. Aku senyum.

Bukan niat nak main-mainkan ayah, cuma dah lama tak bergurau-senda dengan ayah.
Dah lama tak bermanja-manja dengan ayah.
Tapi aku tahu ayah tak ambil hati, sebab ayah tahu siapa anak bujang ayah.
Ayah kenal peribadi anak bujang ayah.
Kalau ayah baca yang ini, itupun kalau ayah bacalah.
Addy sayang ayah sampai bila-bila.
Addy sayang ayah sampai hujung nyawa Addy!

NotaAddy : Tadi baru SMS ayah, bagitahu confirm tak dapat balik. Ayah cuma jawab OK.

Wednesday, January 21, 2009

Opps! Kau salah jalan masuk!

Dia tanya aku, apa gunanya cinta kalau cuma dia yang mengharap.
Apa gunanya perhubungan kalau cuma dia yang berusaha.
Aku diam. Langsung tak jawab apa-apa.
Seingat aku, kita(merujuk aku dan dia) pernah setuju untuk menjadi sahabat bukan?

Maaf, cinta kau bukan pada arah yang sepatutnya!


NotaAddy : Maaf, kebelakangan ini, tulisan aku banyak tentang persoalan hati. Kalau rimas, sila berambus!

Saturday, January 17, 2009

Sebab malam ini adalah malam ini

Malam datang lagi.
Sama seperti malam semalam.
Masih sama seperti malam milik kelmarin.
Dan tetap sama seperti malam-malam yang lain.
Yang bezanya cuma satu dua.
Malam ini bulannya cerah.
Malam ini bulannya ditemani bintang.
Ya, malam lain juga bulannya kadang-kadang cerah.
Malam lain juga bulannya kadang-kadang ditemani bintang.
Tapi malam ini lain.
Sebab malam ini bukan malam semalam, bukan malam kelmarin dan bukan malam yang lain-lain.
Sebab malam ini adalah malam ini.
Malam ini kekal malam ini cuma untuk malam ini.
Bila esok jengah, malam ini akan hilang terus.
Malam ini bukan lagi malam ini.
Malam ini akan berubah.
Malam ini akan jadi malam semalam.
Sebab itu malam ini berbeza dari malam yang lain-lain.
Sebab malam ini adalah malam ini.

Friday, January 16, 2009

Satu Enam-Satu-Dua Kosong Kosong Sembilan

Tiap orang punya cita-cita sendiri.
Atau paling mudah, angan-angan.
Hari ini dah masuk 16 Januari 2009.
Maksudnya dah 15 hari untuk tahun 2009 ni berlalu.
Semudah itu juga hari-hari aku berlalu tanpa apa-apa yang bahagia (selain kunang-kunang dan layang-layang).
Dan secepat itu juga angan-angan aku bertambah.
Macam-macam dalam kepala.
Tengah berebut tempat pertama dalam otak yang mana nak capai dulu.

NotaAddy : Nanti aku update pasal Turki tempoh hari.

NotaAddy 2 : Ini cuma alasan untuk menampakkan yang aku update blog. Sebetulnya otak aku dah kering dan beku. Titik.

Tuesday, January 13, 2009

Kunang-kunang dan layang-layang!

Kunang-kunang.
Layang-layang.

Puitis, A SMS.
Aku tambah, "puitis dan simbolik".
Entah, cuma bila disebut kunang-kunang dan layang-layang sederet, kedengaran indah.

. . . . . . . . . .

Ahad aku penuh.
Malam sebelumnya, makan-makan sambil menghayati lagu-lagu indah di Kunang-Kunang.
Esoknya jalan-jalan mandi-manda di Ulu Tamu.
Petangnya berkejaran menaikkan layang-layang di Taman Metropolitan sambil menghayati matahari terbenam.
Indah. Sungguh!

Friday, January 09, 2009

Eros, Philia, Agape!


Aku terbaca artikel tentang cinta tempoh hari. Bila disebut cinta ataupun barangkali ditanya tentang definisi cinta itu sendiri, rasanya jawapan kalian pasti lebih tepat dari aku, kerna hidup kalian juga aku yakin sentiasa dilitupi dengan cinta, seperti aku juga. Cinta pada bonda, cinta pada ayahanda, cinta pada kaum keluarga, cinta buat sahabat, cinta sang pujangga, cinta itu, cinta ini, cinta yang bermacam-macam. Juga cinta buat DIA yang maha esa. Dan harus ingat, kita juga lahir hasil dari rasa cinta dua jiwa bukan!

Menurut masyarakat Yunani klasik, cinta itu sendiri terbagi pada 3. Aku huraikan sedikit(tak banyak, cuma sedikit saja) untuk pengetahuan umum kalian.

Cinta Eros
Cinta yang berakarkan nafsu dan berahi semata-mata. Cinta ini bukanlah cinta yang tulus sebetulnya. Yang dicintai selalunya tidak dilihat sebagai manusia ataupun subjek, tapi lebih dianggap sebagai objek. Cinta Eros ini ialah cinta yang terarah kepada orang lain tetapi ditujukan demi kepuasan diri sendiri sahaja. Cinta ini bukanlah cinta yang kekal kerna cinta Eros lahir dari emosi dan keadaan. Lebih tepatnya, cinta yang lebih kepada fizikal semata-mata. Cinta yang lebih tertarik kepada segi luaran, cantik contohnya. Cinta yang lahir bila ada manfaatnya untuk diri sendiri. Cinta ini wujud bila yang dicintai mampu memberikan sesuatu yang kita inginkan ataupun mampu menyenangkan kita.

Cinta Philia
Cinta persahabatan. Cinta yang lebih rasional dan yang dicintai dilihat dari segi peribadi dan mempunyai keunikan dan kualiti tersendiri seperti cantik, bijak dan sebagainya. Cinta Philia tidak dibatasi oleh jenis kelamin sahaja tetapi lebih bersikap terbuka samada maskulin ataupun feminin. Cinta ini cinta yang saling bekerjasama, memberi dan menerima serta saling berkomunikasi.

Cinta Agape
Cinta paling agung. Dan tergolong antara cinta paling indah dan sempurna. Cinta Agape merupakan cinta yang tiada syarat. Tiada istilah "aku" atau "kau", tetapi yang ada cumalah "kita". Cinta ini bukan lagi terbatas kepada cantik-hodoh, baik-jahat, kaya-miskin, pandai-bodoh dan sebagainya tetapi mampu mengatasi tembok-tembok pemisah seperti perbezaan agama, suku, budaya, adat resam dan sebagainya. Gambaran cinta Agape yang paling mutlak adalah cinta seorang ibu kepada anaknya, malah sanggup berkorban apa saja demi yang dicintai.


Masih kurang faham? Google-lah. Haha!

. . . . . . . . . .

NotaAddy : Aku masih mencari cinta Agape aku!

Thursday, January 08, 2009

Gilanya seorang arkitek lanskap

Gilalah! Memang gila dalam satu hari sampai lapan meeting(baca : mesyuarat) nak kena attend!(baca : hadir), aku balas SMS H.

Itu belum cukup gila, H SMS balik.

H Arkitek Lanskap. Arkitek Lanskap? Bunyi macam pelik tapi itu setelah aku membahasa-melayukannya. Aku selalu kata H gila kerja. Kadang-kadang tamak sebab nak kaut semua projek dalam satu masa. Tapi H kata itu rezeki. Aku cuma angkat kening sambil jungkit bahu.

SMS H masuk lagi. Yang gilanya, aku kena siapkan kertas kerja untuk semuanya sebelum esok. Nak kerja dengan aku?

Aku tak balas sebab masa aku baca SMS H pun dah dekat satu pagi. Aku terlelap tadi. Esok aku balas.

Tuesday, January 06, 2009

Tuhan, temukan aku dengan yang dicari!

Tika malam makin gelap dan manusia-manusia enak dibuai mimpi, aku masih terus-terusan berjaga, mencari sesuatu!

Tuhan, ubati lukaku.
Tuhan, peliharalah aku.
Tuhan, temukan aku dengan yang dicari!

Sunday, January 04, 2009

Entri terbaik 2008 [Serpihan tag seorang Tok Aum Aum]

Idea dalam kepala hampir kering.
Langsung kosong.
Jadi aku jawab tag oleh Tok Rimau.
Tok tag semua yang baca blognya.
Jadi aku jawab sajalah!
Walau tak cukup lapan bulan untuk genap setahun, tapi aku tetap nak jawab!


Entri terbaik 2008

September : Kali ketiga.
Oktober : Rasa cinta aku yang mendalam pada malam!
November : Gerobok buruk itu.
Disember : Aku pulang dengan hati yang cuma separuh!

Terbaik yang aku maksudkan dari persepsi aku sendiri. Pandangan orang aku tak ambil kisah untuk tulisan kali ni. Terbaik pada aku tak bermakna terbaik pada orang lain.

Titik.

Friday, January 02, 2009

Hati aku yang macam-macam!

Hati aku gundah, bila hatinya terusik.
Hati aku pedih, bila hatinya tersepit.
Hati aku sakit, bila hatinya tercalar.
Hati aku parah, bila hatinya terluka.
Dan hati aku pecah berdarah, bila hatinya hampir musnah.
Walaupun hakikat sebenar, hatinya tak pernah aku miliki!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...