Tuesday, March 31, 2009

Semua yang masih sama dan serupa

Matahari itu masih terang terik.
Kalaupun hujan dari Dia, tetap tiada beza.
Bila malam, masih tetap gelita.
Sungai yang satu itu masih mengalir.
Walau warnanya tak lagi sama.
Hijau sekeliling masih tetap serupa.
Kotanya masih kota yang lama.
Bisingnya juga masih celaka.

Cuma hati dan rasa saja yang dah berubah.
Langsung dari yang asalnya.

Saturday, March 28, 2009

Cinta

Cinta itu datang, tapi hilang waktu belum sempat aku hidu wangi indahnya.

Thursday, March 26, 2009

Salam malam pada dunia!

Sunyi malam paling setia jadi teman.
Mata masih belum mahu labuh tutup alis kelopak.
Letih badan tak mampu paksa tubuh untuk terus hanyut.
Jemari panjang pendek masih mahu lincah.
Tapi yang dalam cetek fikiran seolah mahu berhenti untuk semua.
Yang mahu cuma ucap selamat malam pada dunia!

Wednesday, March 25, 2009

Selamat bertunang buat Yong.


Dua yang bakal jadi satu.
Dua rasa.
Dua hati.
Dua jiwa.
Yang berkumpul dalam satu cinta.

21 Mac 2009.
Selamat bertunang buat Yong.
Moga bahagia yang datang bukan cuma seketika.

Friday, March 20, 2009

Camar yang terbang pulang.



Aku mahu pulang. Jadi aku tinggalkan kalian dengan yang ini. Ini aku rakam waktu perjalanan menuju Bursa tika menyusur Laut Hitam (baca : Black Sea) melalui Yalova, Orhangzi dan Gemlik di Turki dulu. Titik.

Thursday, March 19, 2009

Jangan langsung!

Sungguh aku tak mampu telah hati manusia. Aku bukan pawang. Aku bukannya bomoh. Aku bukan ahli magis pon. Aku bukan siapa-siapa.

Cuma tinggal dua lagi malam untuk jejak hari tujuh. Itu majlis Yong. Aku cuma harap langsung tiada yang bicara tentang aku. Langsung!
Atau mungkin baik kalau tiada yang perasan aku wujud.

Kali ini mungkin aku akan lebih banyak diam. Dan sambung senyum.

. . . . . . . . . .

Ya, dalam hati aku juga punya taman.
Malah pernah berbunga mekar.
Cuma dahannya saja yang seringkali patah!

NotaAddy : Aku pernah tulis rangkap yang ini untuk seorang kawan juga. Lama dulu aku kira. Dan aku pinjam semula.

Monday, March 16, 2009

Sungguh-sungguh aku tak pernah lupa!

"Dah lupa aku? Susahkan nak taip msg je pon.", aku dapat SMS Zaim petang tadi.
Zaim antara kawan terbaik aku.
Kawan yang paling rapat dan dekat dengan aku di kolej dulu.
Kawan yang selalu aku kongsi segala emosi yang ada dalam diri aku.
Kawan yang menjadi mata tika aku hampir buta.
Kawan yang menjadi mulut bila aku hampir bisu.
Kawan yang menjadi telinga saat aku hampir pekak.
Kawan yang menjadi kaki tatkala aku hampir lumpuh.
Kawan yang bukan cuma setakat kawan biasa.
Kawan yang bukan cuma sekadar teman bicara.
Kawan yang aku istilahkan sahabat.
Kerna pengertian aku tentang kawan dan sahabat sangat berbeza.

"Sejak dok KL macam dah x ingt asha.", SMS Asha seminggu dua dulu yang masih aku simpan dalam kotak mesej bimbit aku.
Asha juga kawan aku.
Asha muda empat tahun dari aku.
Asha aku anggap adik.
Asha yang cantik dengan rambut kerinting kembangnya.
Asha yang aku pernah marah bila dia luruskan rambut.
Tetap cantik, tapi aku lebih suka Asha yang asal.
Aku lebih suka Asha yang asli.
Walaupun Asha cantik, aku cuma anggap Asha tak lebih dari seorang adik.
Dan adik-adik aku memang selalunya yang cantik-cantik.
Tempoh hari Asha datang Kuala Lumpur pun aku tak sempat jumpa.
Walaupun sekejap.

Dan lama dulu Mone pon pernah mengomel perkara yang sama.
Mone juga antara kawan yang kekal jadi kawan aku.
Mone juga sama dengan Asha.
Bezanya Mone berambut lurus.
Dan aku pernah bising-bising bila Mone kerintingkan rambut lurusnya.

Sungguh aku tak pernah lupa.
Jauh sekali buang kalian terus dari hati aku.
Mana mungkin aku lupa manusia-manusia yang selalu berdiri disamping aku.
Mana mungkin aku mampu campak keluar kalian dari kotak fikiran bodoh aku.
Mana mungkin aku mampu padam kalian dari dalam hidup bosan aku.
Mana mungkin!

Aku cuma kadang-kadang lupa untuk ingatkan diri aku yang aku masih punya kalian.
Teman yang selalu ada untuk aku.
Teman yang selalu setia pada aku.
Teman yang sentiasa hidup dalam aku.
Sungguh aku langsung tak pernah lupa.
Walaupun sedetik.
Kerna aku sudah punya ruang untuk kalian semua dalam hati kecil naif aku.

Sungguh-sungguh aku tak pernah lupa!

Wednesday, March 11, 2009

Kondisi 2

Renung malam dalam-dalam.

Cuma mungkin layar koyak putih.
Langsung tanpa siapa-siapa, atau apa-apa.
Kalaupun ada titik hitam cuma.
Titik hitam yang bukan cerita.
Titik hitam yang bukan bahagia.
Tapi titik hitam yang mungkin artinya dosa.

Tuhan, Kau genggamlah aku.
Kau letaklah aku diantara mereka.
Mereka-mereka yang Kau janjikan syurga!

Monday, March 09, 2009

Kondisi.

Badan mula sejuk.
Mata terasa bahang.
Tekak kembali loya.
Mukus-mukus kerak bertukar cair.
Aku kira panas badan semalam datang semula.
Kali ni memang aku perlu rehat yang betul-betul rehat.

Salam Maulidurrasul!
Orang bercuti tapi dalam demam aku masih perlu kerja.
Harap tahun ini aku dapat anugerah pekerja contoh!

UPDATE : Sekarang 1156 malam, dan aku masih di pejabat!

Saturday, March 07, 2009

Kencan Fantasi [serpihan TAG manusia sang Azie]

Kali ini aku ditag oleh seorang adik simpanan yang aku kira sudah mula sayangkan aku. Kalaupun dia menafikan, kamu tahu kan perempuan, nalurinya memang sifat pemalu itu ada. Tak banyak mungkin sikit. Jadi abaikan. Cuma dia yang tahu hatinya. Haha!

Ok. Kali ini persoalannya tentang kencan fantasi. Kencan menurut Cik Azie maksudnya janjitemu. Aku kurang arif yang sepatutnya janjitemu atau temujanji. Tapi kamu pasti faham, maksudnya tetap sama.

Ok kita hayati kencan fantasi aku!

5 KENCAN FANTASI SEORANG ADDY.

1) Main layang-layang. Kalaupun dia cuma lihat sambil ketawa riang. (Tok, sungguh aku tak tiru kamu tok, ini memang antara fantasi aku. Haha!)
2) Dia bergerak bebas, sambil aku ketik kamera ambil fotonya. Bukan hasil yang aku mahu, cuma detik itu yang aku puja.
3) Dengar dia bercerita penuh teruja sambil ketawa gembira, aku cuma senyum. Itu dah cukup bahagia. Suasananya mungkin dalam dingin malam yang buat aku fikir, perlukah aku bangun dan dakapnya supaya lebih hangat. Ah, fantasi tetap fantasi.
4) Berbaring atas pasir halus putih mulus tepi pantai yang cuma kami berdua sambil lihat matahari terbenam. Atau juga sambil merenung malam yang punya cahaya bulan yang samar-samar sambil mengira kelip bintang. Aduh! Sungguh aku paling mahu yang satu ini.
5) Bercinta dengan Liyana Jasmay. Kalau yang ini mampu aku gapai, aku sanggup tutup blog. Haha!

Dan dalam adegan kencan fantasi aku, aku tak perlu dalam keadaan berpegang/berpimpin tangan macam Cik Azie. Sebab dalam kencan fantasi aku, hati kami dah pun bersentuh. Bersatu. Dan berdakap rapat. Romantikkan? Haha!

Dan untuk buat kencan fantasi aku jadi kencan yang realiti, aku perlukan gadis-gadis gebu yang seksi. Untuk dapatkan borang, kamu boleh guna dua cara :

1) Tapi "ON ADDY" dan hantarkan ke 22288
2) Layari laman web www.kencanfantasiaddy.com

Dan kali ini aku senaraikan manusia-manusia yang aku mahu TAG :

1) Wahyudimy (Aku yakin kau takkan jawab. Haha)
2) Cendana (Kamu akan jawab, saya yakin!)
3) Chimera (Kamu wajib jawab bang. Haha!)
4) Miezi (Buat kalau bosan dah merayap dalam diri kau nanti, aku tunggu!)
5) Kay (Jawab guna tulisan kamu yang indah-indah)
6) Ad Rifza (Cuma mahu kamu sikit gembira bang. Haha)
7) Nizam.ariff (Aku harap hati kau terbuka untuk buat bang!)
8) Princess Liyana (Kamu dah jawab, tapi saya masih nak TAG kamu. Haha!)
9) Azie (Berani jawab lagi sekali? Haha!)
10) Kamu dan kamu dan kamu. Ya sungguh. Aku tuju jari buat kamu!

Thursday, March 05, 2009

Dia

Dalam diam dia datang.
Dalam kelam dia tiba-tiba ada.
Tanpa sebarang apa-apa.
Entah langsung dari mana.
Tapi hadirnya tak lama.
Munculnya cuma seketika.

Sungguh suara itu makin kian hilang!

Wednesday, March 04, 2009

Takkan melayu hilang di dunia

Takkan melayu hilang di dunia.
Sungguh!
Melayu tak pernah hilang.
Yang hilang cuma adat dan budaya.

Apa ada pada adat?
Apa yang ada dengan budaya?
Kita kan makhluk moden yang cuma mahu kemajuan semata.
Huh!

Monday, March 02, 2009

Pekan Frinjan yang dalam basah hujan


Hati aku tertarik cuma bila aku baca "Buku Independen" yang tertulis dalam poster yang warnanya kuning merah jambu itu. Dan aku suka tagline ; Bukan sekadar flea market! Cool kan?

Ya. Aku tertarik cuma sebab buku independen (aku ikut susunan aksara pada poster) saja sebenarnya. Tapi aku kecewa bila Perburuan tulisan Pramoedya Ananta Toer tak sempat aku capai. Aku salahkan kak Alina sebab cuma bawa satu salinan. Ya, aku sempat berkenalan dengan kak Alina Abdullah. Dia nampak comel dengan baju bunga-bunga orennya. Aku mimpi senyum dia dalam tidur malam tadi. Haha!

Petangnya aku sempat jamu mata dan halwa telinga dengar Gig Akustik, Gurindam Gitar Menangis. Aku sangat selesa dengan persembahan Mysthicus. Aku suka. Sangat suka sebenarnya. Dan aku sempat beli CD lagu-lagu Mysthicus. Tapi aku lebih suka Mysthicus yang aku jumpa berbanding CD yang kualitinya agak kurang bagus. Aku tak pasti samada CD aku yang rosak atau apa. Tapi sungguh Mysthicus bagus sekali bila live. Hidup!
Dan tutur kata yang keluar dari vokalisnya manis sekali, bisa buat gadis-gadis juga bukan gadis jatuh cinta. Tapi aku langsung tak jatuh cinta. Sungguh. Haha!

Dan aku juga tertarik dengan Wani Ardy. Ini pertama kali aku dengar lontaran suara Wani Ardy dan suaranya sangat bagus. Kalian bayangkan, si perempuan cantik manis yang rambutnya beralun lembut ditiup angin petang, yang menyanyi lagu-lagu puitis berbuai indah sambil berdiri rapat petik gitar. Aku ulang ; perempuan cantik. Dan sekelilingnya kedengaran bunyi titis-titis hujan dan cahaya yang samar-samar (hampir jengah malam atau senja paling tepat). Romantikkan? Jadi apa lagi yang kalian mahu dalam hidup?
Sekarang aku keliru untuk memilih antara Wani Ardy atau Liyana Jasmay. Haha!

Persembahan yang lainnya juga bagus, cuma yang betul-betul lekat dalam kotak fikiran aku cuma mereka yang dua ini. Kau yang teristimewa Wani Ardy. Dan aku jatuh cinta dengan bidadari Mysthicus!

Dan dari awal juga aku perhati lelaki berkardigan kelabu yang jinjit Nikon D80-nya. Persis profesional. Jangan salah faham. Aku perhati bukan berlandaskan nafsu syahwat yang gila tapi cuma rautnya yang seolah biasa aku lihat. Dan ya, dia Aie Akaike. Salam kenalan dari aku Aie!
Aku sendiri terkejut bila aku berani tegur kau sebab selalunya aku cuma lihat dari jauh sebab aku memang selalunya begitu. Dan Vovin memang aku tak berani tegur, sebab dia terlalu otai untuk aku. Haha!

NotaAddy : Kecewa tak peroleh Perburuan, tapi aku dapat Gulat di Jakarta dan Subuh tulisan Pram. Juga lima buku lainnya. Dan aku beli Dua Lauk sebab Taf Teh ada sama.

Salam hari lahir buat mak!


Salam hari lahir buat mak!
Tiada bait indah yang mampu Addy tulis untuk mak.
Tiada kata-kata yang mampu Addy ucapkan pada mak.
Kerna kasih mak terlalu agung untuk Addy abadikan hanya dengan sebuah puisi biasa.

Sayang Addy takkan pernah hilang.
Kerna yang mengalir dalam setiap inci tubuh ini adalah dari cinta mak.
Kerna yang mengisi setiap rongga dalam diri ini adalah dari kasih mak.
Salam hari lahir buat mak!
Sungguh, doa Addy sentiasa yang teratas buat mak!

NotaAddy : Aku juga pernah tulis tentang mak, untuk baca semula, klik sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...